Kisah ini diceritakan sendiri oleh individu yang bernama Mohamad
Sidik pada 07 Oktober 2012 (Ahad) pada saya pada pukul 12.14 petang. Ini ialah kisah
sebenar. Hayatilah kisahnya, semoga ia menjadi iktibar buat kita semua.
-----------------------------------------------------------------------------------------------
Malam tadi setelah keluar dari masjid setelah selesai
menunaikan solat fardu Isyak di masjid berdekatan dengan rumah, saya berjalan
kaki seorang diri menuju ke sebuah kedai
makan untuk makan malam. Pengunjung di kedai makan yang saya tuju itu agak
ramai dan boleh dikatakan hampir kebanyakan meja di kedai tersebut sudah penuh.
Saya memilih untuk duduk di salah sebuah meja di bahagian paling hujung seorang
diri yang ketika itu tiada orang di meja tersebut. Apabila pelayan datang saya
pun memesan makanan yang saya mahu. Selepas beberapa ketika pelayan tersebut
pergi datanglah pula seorang gadis muda berkulit cerah berjubah dan bertudung
hitam bergaya wanita Arab ke meja saya . Lalu wanita berkenaan meminta izin
untuk duduk sekali di meja berkenaan. Saya mengizinkannya. Selepas itu
berlakulah perbualan di antara kami. Berikut ialah perbualan kami yang sudah
diterjemah ke dalam bahasa Melayu. Kami berbual di dalam bahasa Inggeris. Perbualan
ini berkisahkan mengenai “Gangnam Style” yang kini digemari oleh rakyat
Malaysia.
Wanita: "Tuan,
boleh saya duduk di sini??? Saya lihat, tempat-tempat di meja lain semua sudah
penuh."
Saya: "Silakan, tak mengapa. Silakan
duduk."
Kemudian pelayan telah datang kepadanya meminta
pesanan dan dia hanya memesan minuman “fresh orange” untuk minum. Apabila
pelayan telah pergi saya memberanikan diri bertanya kepadanya dengan rasa
pelik.
Saya: "Kamu seorang diri sahaja? Kamu kelihatannya
bukan orang Malaysia, bukan?"
Wanita: "Ya, saya bukan orang Malaysia. Saya
berasal dari Negara Korea Selatan. Saya datang ke sini kerana ingin ke rumah
seorang kawan."
Saya: "Oh Korea Selatan. sekarang negara itu
sedang terkenal dengan tarian “Gangnam Style"
Wanita: "Gangnam Style”. Apa yang kamu tahu tentang tariannya??? Ianya adalah tarian yang dilaknat Tuhan. Saya
menganggap tarian “Gangnam Style” adalah tarian yang diilhamkan oleh Iblis
kepada artis itu” (jawabnya dengan tegas).
Saya: "Oh ok, saya minta maaf. Saya tak
bermaksud menyinggung perasaan kamu."
(Perbualan kami terhenti kira-kira 15-20 minit)
Wanita: "Kamu mahu
tahu apa yang saya tahu tentang tarian “Gangnam Style”???"
Saya: "Jika kamu berminat untuk bercerita
kepada saya, saya sudi mendengarnya."
Wanita: "Ok sekejap beberapa minit, selepas
saya membalas mesej-mesej ini.” ( jari-jemari wanita berkenaan ligat bermain di
dada skrin telefon pintarnya)
Saya hanya mengangguk-angguk.
Wanita: "Baik,
sekarang saya akan bercerita tentangnya. Ia merupakan sesuatu yang menarik
tetapi sangat-sangat pelik dan menakutkan”.
Saya: "Ok, seakan-akan ada satu perkara besar
yang kamu ingin sampaikan kepada saya".
(Kemudian wanita berkenaan diam selama kira-kira 10
saat, mengambil nafas dan memulakan ceritanya kepada saya)
Wanita: "Gangnam
merupakan satu Bandar yang berada di dalam Negara Korea Selatan. Di Gangnam ada
satu pertandingan pelik yang diadakan untuk gadis-gadis muda untuk menjadi
perempuan-perempuan simpanan bagi orang-orang kaya dan para jutawan. Kebanyakan
gadis muda yang menyertai pertandingan tersebut adalah mereka yang ingin
mencuba nasib setelah gagal mendapat tempat dalam pekerjaan atau terlalu teruja
untuk menikmati hidup mewah bersama orang-orang kaya. Mereka dijanjikan dengan
hadiah yang sangat lumayan seperti kereta mewah, jet peribadi dan rumah besar
seperti istana dengan kolam renang jika memenangi pertandingan tersebut."
(kemudian dia diam lagi)... selepas itu pelayan
datang membawa hidangan yang saya pesan dan air minuman yang dipesan oleh
wanita berkenaan. Beliau lalu meminum minuman berkenaan.
Saya: "Ok, boleh
kita teruskan ceritanya?
Wanita: " Ok, ia merupakan
sesuatu yang amat dahsyat dan keji dan saya hampir tidak mahu menceritakannya
kepada kamu. Tetapi saya akan cuba ceritakannya juga agar kamu dapat tahu apa
kisah benar yang berlaku."
Saya: "Ya, sila sambung ceritanya. Saya memang
ingin tahu tentangnya."
Wanita: "Ok. Untuk sampai ke tempat
pertandingan tersebut, para peserta yang terdiri daripada perempuan-perempuan
muda yang cantik masing-masing dikehendaki menunggung seekor kuda kira-kira 500
meter dari tempat para peserta berkumpul. Mereka menuju ke tempat pertandingan
yang merupakan sebuah istana besar dan mewah milik seorang jutawan di Gangnam.
Kamu bayangkan, mereka semuanya menunggang kuda dengan memakai kasut tumit
tinggi, baju jarang dan skirt singkat yang seksi sambil diiringi pihak
penganjur pertandingan yang menaiki helikopter. Setelah sampai di sana mereka disambut oleh pihak
penganjur di istana itu dan dibahagikan kepada 2 kumpulan. Setiap kumpulan akan
melalui 2 laluan yang berbeza. Pertandingannya ialah laluan berhalangan untuk
sampai ke destinasi yang terakhir. Ia seperti pertandingan dalam rancangan
“Wipe Out” di dalam TV jika kamu pernah melihatnya. Setelah sampai di destinasi
terakhir, para peserta yang berjaya dari dua kumpulan itu akan bertarung pula
sesama sendiri. Jika pihak lawan tewas maka peserta yang masih bertahan akan
dianggap sebagai pemenang dan mendapat wang bernilai jutaan USD. Laluan berhalangan
itu sangat berbahaya namun para peserta tetap melakukannya dengan memakai kasut
tumit tinggi dan pakaian seksi mereka sambil disaksikan dan disorak oleh para
jutawan yang melihat aksi-aksi mereka tersebut dari sebuah ruang balkoni bilik
mewah di istana tersebut. Saya tidak pasti pertandingan ini dirakam ataupun
tidak. Terus-terang saya katakan ianya adalah pertandingan membunuh diri yang
paling gila."
Saya: "Ok,
kemudian apa yang berlaku?"
Wanita: "Satu ketika di salah satu trek, para
peserta dikehendaki memanjat palang-palang besi untuk melintasi salah sebuah
menara di istana tersebut. Palang tersebut sangat tinggi dan di bawahnya ada
kolam renang. Di satu sudut yang lain, para jutawan pula menyaksikan aksi-aksi
peserta dari dalam sebuah bilik mewah sambil menikmati hidangan dan minuman
arak yang mahal bersama gadis-gadis mereka. Ramai
peserta ketika itu yang terjatuh ke bawah ketika cuba memanjat palang-palang
besi tersebut. Ada yang terhempas ke lantai dan kepalanya pecah. Ada yang patah
tangan dan kaki. Ada yang pecah badannya. Kolam renang tersebut penuh dengan
darah dan ada yang mati lemas ketika jatuh ke dalamnya setelah gagal untuk
berenang keluar dari kolam renang yang dalam tu. Mereka semua para gadis yang
tidak berupaya dan mereka sangat kasihan. Yang lebih keji daripada itu, mereka
yang tercedera ketika itu langsung tidak dibantu. Malah dibiarkan begitu sahaja
untuk disorak dan ditertawakan oleh para jutawan yang melihat mereka sepanjang
pertandingan berkenaan. Akhirnya apa yang saya tahu, hanya 2 orang gadis sahaja
yang berjaya melepasi laluan itu daripada keseluruhan 30 orang gadis yang
menyertainya. Saya dikhabarkan walaupun 2 gadis itu akhirnya berjaya, mereka
kini hidup dengan trauma dan penuh ketakutan di sisi para jutawan gila
tersebut. Mereka kini hidup seperti hamba di dalam istana zaman purba. Tiada
tamadun dan tiada akhlak. Hanya menjadi hamba suruhan lelaki-lelaki kaya yang
merantai hidup mereka sahaja. Lebih malang lagi gadis-gadis yang sudah
terjerumus ke sana tidak boleh lari daripada golongan kaya gila itu. Jika cuba
untuk lari kemungkinan mereka akan dibunuh."
(wanita berkenaan diam kembali. Beliau sebak dan
tiba-tiba menangis teresak-esak)
Saya sangat terkejut dengan perubahannya secara
tiba-tiba itu dan cuba memujuknya.
Saya: “Jangan menangis.
Orang lain sedang melihat kamu. Saya minta maaf kerana menyuruh awak
menceritakan kisahnya pada saya.”
Wanita: “ Ok (sambil mengesat air matanya dengan
sapu tangan miliknya) maafkan saya kerana tiba-tiba bersikap pelik tadi. Kamu
tahu, salah seorang gadis yang mati kerana pecah badannya ketika jatuh di
pinggir lantai kolam renang itu ialah adik perempuan saya sendiri. Ibu saya telah
membunuh diri kerananya dan bapa saya telah menjadi gila. Setelah ibu saya
membunuh diri, bapa saya sakit selama berbulan-bulan lalu akhirnya dia meninggal
dunia."
(wanita berkenaan diam beberapa minit)
Wanita: "Ibubapa saya hanya
memiliki 2 orang anak perempuan dan adik saya sudah menjadi mangsa kepada nafsu
gila orang-orang kaya Korea. Sejurus selepas
tamat pertandingan tersebut, saya telah dihubungi seorang wanita yang
memberitahu bahawa adik saya telah pengsan dan cedera parah kerana terjatuh
dari istana itu dan saya dikehendaki datang ke hospital untuk melihatnya.
Wanita itu juga menyatakan dia mendapat nombor telefon saya daripada adik saya.
Apabila saya dan ibubapa saya tiba ke hospital, kami telah diberitahu bahawa
adik saya telah pun meninggal dunia. Saya memarahi wanita tersebut dan
mendesaknya bertubi-tubi untuk menceritakan kisah sebenar kepada saya. Akhirnya
selepas beberapa hari kemudian dia telah menceritakan keseluruhan kisah ini
kepada saya. Setelah mengetahui kisah sebenar, kami sekeluarga meraung dan
menangis macam orang gila kerana tidak pernah menyangka adik saya sanggup
menyertai pertandingan gila tersebut hanya untuk hidup mewah. Wanita itu
berkata ia adalah pilihan adik saya sendiri. Beberapa minggu kemudian ibu saya telah
membunuh diri pada satu malam dengan menelan aspirin sebanyak 200 biji. Ibu
saya telah koma apabila saya dan bapa menghantarnya ke hospital. Pada sebelah malam
harinya dia telah meninggal dunia. Bapa saya pula selepas itu sakit jiwa
sebelum mengalami sakit tenat yang membawanya kepada meninggal dunia. Saya pula
hidup tidak menentu dan mujurlah saya mempunyai seorang sahabat wanita beragama
Islam. Kawan saya telah menasihati saya supaya terus berjuang agar saya dapat
meneruskan kehidupan dengan tabah. Berulang-ulang kali dia mengingatkan kepada
saya bahawa kehidupan ini adalah anugerah Tuhan dan orang yang beriman tidak
boleh berputus asa."
Saya: "Saya lihat kamu kini seorang Muslimah???"
Wanita: "Alhamdulillah, terima kasih kepada
Allah. Sahabat saya itu telah membawa saya berjumpa dengan seorang imam di
bandar Seoul untuk memulihkan semangat hidup saya. Imam itu mula bercerita
kepada saya tentang Allah, Islam dan Nabi Muhammad. Saya menerima segala
ajarannya dengan lapang hati seakan-akan ia satu-satunya pilihan yang ada.
Benar, Islam adalah satu cahaya yang sangat terang seperti matahari dan
mendamaikan seperti bulan purnama yang kembali menyuluh seluruh hidup saya dan
saya terus berubah kepada agama ini tanpa ragu-ragu. Dan kamu tahu tak, jiwa
saya berasa sangat-sangat tenang dan damai ketika mendengar ayat-ayat Al-Quran
yang berkumandang di ibu pejabat markas Islam di bandar Seoul. Imam itu merupakan
salah seorang ahli pengurusnya. Saya tidak pernah mendengar muzik-muzik yang
sangat indah seperti ayat-ayat Al-Quran sebelum ini dalam hidup saya. Alhamdulillah,
saya bersyukur kerana diselamatkan oleh Allah dan kembali dihidupkan semula
sebagai seorang Islam setelah saya kehilangan segala-galanya akibat kekeringan
jiwa masyarakat dunia terutama masyarakat Korea yang hidup sesat tanpa agama.
Mereka semua telah sesat tanpa panduan hidup yang benar daripada Tuhan."
(setelah itu wanita berkenaan telah diam dan menghabiskan meminum
minuman yang dipesannya)
Saya: "Kisah kamu
sangat menarik tetapi menakutkan. kamu sudah mengambil tindakan undang-undang bagi
pihak adik kamu atau melaporkannya kepada media atau berbuat sesuatu???"
Wanita: "Lupakan sahajalah, saya sudah melaporkannya
kepada pihak polis. Sudah menceritakannya kepada beberapa orang wartawan dan
melaporkannya secara bersumpah kepada beberapa orang peguam tetapi pihak polis
enggan melakukan pendakwaan kerana tiada bukti-bukti yang kukuh mengenainya.
Tiada video dan tiada saksi-saksi lain yang mahu tampil kepada pihak berkuasa
selain saya. Mungkin ada namun ia tidak memadai. Wanita yang membawa adik saya
ke hospital itu juga sudah menghilangkan diri. Saya cuba menghubungi nombor
telefon bimbitnya berkali-kali namun dia tidak dapat dihubungi. Kali terakhir
saya mendengar tentangnya melalui seorang peguam yang mendapat khabarnya
daripada seorang detektif polis ialah dia sudah meninggal dunia akibat
kemalangan. Para peguam lain dan wartawan yang saya ceritakan kisah ini kepada
mereka kesemuanya telah diugut untuk tidak mendedahkannya kepada umum. Mungkin
begitu juga yang terjadi kepada mangsa-mangsa yang lain. Laporan polis di sana
pula menyatakan gadis-gadis yang meninggal dunia akibat cedera parah itu adalah
kerana rabung palang-palang besi di istana itu roboh ke bawah ketika mereka
semua sedang berada di atasnya kerana ketika pihak polis sampai di sana
palang-palang besi itu sudah pun dirobohkan. Manakala mangsa-mangsa yang masih
hidup setelah kecederaan masih mengalami trauma yang dahsyat dan ada yang cacat
seumur hidup walaupun mereka mendapat bayaran ganti rugi insurans yang banyak.
Apa yang saya tahu mereka semuanya diugut akan dibunuh jika mendedahkan
peristiwa sebenar kepada pihak polis.”
Saya: "Oh, ok... Ianya merupakan sesuatu yang
gila yang pernah saya dengar. Jadi sekarang berapa umur kamu dan mengapa kamu
berada di negara Malaysia? Apa yang kamu
sedang buat di sini sekarang? Bila peristiwa sedih itu berlaku?".
Wanita: "Kamu agak saya berumur berapa
sekarang ini???"
Saya: "Saya tidak mahu mengagak dan saya tidak
tahu berapa umur kamu."
Wanita: "Kisah sedih itu hanya berlaku pada
tahun lepas dan saya tidak mahu sebut apa bulan dan harinya. Cukuplah kamu tahu
ia berlaku pada tahun lepas. Kini saya berumur 29 tahun dan saya di berada di negara
Malaysia kerana ingin cuba mendaftar kursus bahasa Arab di ******* University
dengan sahabat wanita Muslimah saya dari Korea itu. Tadi saya bertemu janji
dengannya untuk bertemu di sini. Kami rakan serumah dan dia tadi menziarahi
rakan kami orang Malaysia di kawasan ini. Saya sampai ke sini lewat sedikit
dengan teksi.”
Saya: "Kamu sungguh berani. Di Malaysia tidak
ramai wanita yang berani naik teksi seorang diri pada waktu malam. Terima kasih
kerana menceritakan kisah ini kepada saya. Saya amat menghargainya dan
mudah-mudahan suatu hari nanti Allah akan membalas dendam untuk kamu dan
mangsa-mangsa lain yang telah teraniaya."
Wanita: "Sudah tentu! Suatu hari nanti semua
orang dan dunia ini akan tahu mengenai kejahatan tersembunyi di bandar Gangnam
yang dilaknat itu! Kamu ingat artis yang mencipta lagu Gangnam gila itu
menyukai cara hidup bandar Gangnam??? Saya rasa dia amat tertekan dengan cara
hidup di sana. Namun kini dia sudah menjadi sebahagian daripada mereka. Semoga
Tuhan melaknat mereka semua. Saya menyerahkan kepada Tuhan untuk membalas
segala kejahatan mereka."
Saya: "Wah... Kamu nampaknya sangat marah
dengan Gangnam Style…" balas saya (sambil mengangkat kedua-dua kening dan
menyedut jus tembikai susu yang masih berbaki menggunakan straw).
Wanita: "Kamu jangan berpura-pura seperti
tiada perasaan dan tidak mempunyai perikemanusiaan."
Saya: "Bukan macam tu. Saya benar-benar
terkejut dan simpati dengan kisah kamu. Bahkan di sebalik itu, saya dapat
melihat kamu seorang yang sangat tabah, kuat dan berani. Kamu datang sini
dengan biaya sendiri? Bagaimana dengan suami kamu dan kerjaya kamu di
Korea?" tanya saya kepadanya dengan meneka-neka.
Wanita: "Hahaha, saya masih belum bersuami dan
saya telah menjual segala apa yang saya ada di Korea untuk datang ke sini. Saya
mahu belajar bahasa Arab di sini dan merancang mahu ke negara Mesir atau ke
Islamic Center di Chicago selepas ini untuk belajar lebih banyak tentang Islam
di sana. Kamu juga tahu, Timur Tengah kini tidak stabil dan saya masih
ragu-ragu untuk ke Timur Tengah. Imam yang mengislamkan saya itu pernah
memberitahu saya bahawa dahulunya dia belajar bahasa Arab dan agama Islam di negara
Syria di sebuah universiti yang namanya An-Nur."
Saya: "Kebetulan dulu saya pernah belajar di negara
Syria dan universiti tempat saya belajar itu namanya Universiti An-Nur."
Wanita: "Oh benarkah??? Ceritakan kepada saya
tentang Negara Syria... saya rasa amat bertuah bertemu dengan kamu."
Selepas itu perbualan kami mula bertukar topik
kepada isu Syria dan pergolakan di Timur Tengah serta topik-topik lain yang
sudah tiada kena-mengena dengan Gangnam Style. Saya juga bercerita sedikit
sebanyak tentang latar belakang diri saya kepadanya sebagai membalas kisah
hidupnya yang telah dia ceritakan kepada saya.
Lama juga kami bersembang sejak jam 9.00 malam
tadi. Kira-kira jam 10.30 malam rakan gadis itu datang ke kawasan kedai
tersebut dan gadis itu meminta izin untuk pergi. Dia membayar segala pesanan
makanan saya dan memperkenalkan dirinya sebagai Sofiyyah dan rakannya bernama
Nadiah. Katanya nama mereka berdua diberikan oleh imam yang mengislamkan mereka
di bandar Seoul merangkap guru murabbi mereka di Korea Selatan. Saya pula
beruntung kerana makan malam saya ada orang belanja.
Kedua-dua mereka pernah lahir sebagai manusia yang
tidak pernah menganut sebarang agama di Korea namun kini Allah telah memuliakan
mereka dengan agama Islam yang suci. Saya tidak tahu sejauh mana kebenaran
cerita Sofiyyah tentang kisah yang berlaku kepada adiknya di Gangnam. Kebenaran
kisah tersebut saya serahkannya bulat-bulat kepada Allah. Namun saya berminat
untuk kongsikan kisah ini kepada para pembaca agar para pembaca dapat membuat
penilaian sendiri. Kisah tersebut mungkin benar dan mungkin tidak benar. Namun,
di sebalik kisah yang saya pindahkan daripada Sofiyyah ini, dapatlah kita
mengetahui sesuatu dan menjadikannya sebagai pengajaran.
Apa yang saya suka kongsi satu iktibarnya ialah saya
melihat betapa Sofiyyah amat bersyukur dan menghargai nikmat Islam yang
dikurniakan Allah kepadanya. Dia sanggup meninggalkan negerinya dan menjual
segala hartanya demi mempelajari bahasa Arab di bumi Malaysia bagi memahami
Al-Quran malah dia bercita-cita untuk terus mengembara bagi mempelajari
ilmu-ilmu Islam dan menjadi seorang pendakwah Muslimah di negara Korea untuk mengIslamkan
lebih ramai penduduk Korea. Dia seorang yang amat berani, tabah dan cekal.
Lihat saja, bagaimana dia seorang diri berani menyapa seorang lelaki asing
seperti saya di awal kisah tadi. Apa yang saya lihat padanya, tiada sebarang
ketakutan di dalam dirinya dan harapan hidupnya telah 100 % diserahkan kepada
Allah. Dia telah menjual seluruh jiwa dan raganya hanya kepada Allah
semata-mata. Di sebalik kekuatan dirinya sekarang, saya juga yakin di
belakangnya ada seorang murabbi mursyid yang hebat iaitu sang imam yang telah
mengislamkannya. Biasanya di sebalik orang-orang yang hebat, di belakang mereka
sudah tentu ada para pendidik yang jauh lebih hebat lagi. Di dalam hati saya
berkata sudah tentu peribadi sang imam itu lebih hebat lagi kerana berjaya
membaiki diri Sofiyyah menjadi lebih kuat sepertimana sekarang. Ia bukanlah
sesuatu yang mudah untuk memulihkan, mendidik dan membangunkan jiwa manusia
yang sudah rosak teruk seperti Sofiyyah dan menjadikannya seorang srikandi Islam
yang gagah perkasa jiwanya.
Sepanjang berjalan kaki pulang ke rumah, saya
banyak tertanya-tanya di dalam hati betapa kita ini begitu leka dan tidak
bersyukur dengan nikmat beragama Islam yang telah Allah anugerahkan kepada kita
sejak kita dilahirkan ke alam dunia.
Sehingga saat ini saya masih tetap berfikir
sendirian. Kisah Sofiyyah ini ialah apa yang saya dengar berlaku di negara
Korea yang sudah maju. Bagaimana pula dengan kisah-kisah gelap seperti kisah
gadis-gadis Melayu Islam yang menjadi pelacur kelas atasan di negara kita???
Sudah tentu banyak juga kisah-kisah gelap yang tidak pernah kita dengar tentang
mereka. Sebelum ini saya pernah juga mendengar mengenai kisah-kisah kongsi
gelap di negara kita yang dilindungi oleh orang-orang besar.
“Ya Allah, betapa teruknya manusia menjadi hamba
wang dan kuasa pada akhir zaman ini... Ya Allah, selamatkanlah kami di dunia
dan di akhirat...”