Selamat Datang ke blog sautulhaqq

Selasa, 27 April 2010

DR AHMAD BAHR MENGUTUK KEPUTUSAN FAYYAD ADAKAN PILIHANRAYA DI TEBING BARAT


Selasa, 27/04/2010 – Dr Ahmad Bahr, Timbalan I Speaker, Majlis Perundangan Palestin mengutuk keputusan ‘kerajaan tidak sah’ Perdana Menteri, Salam Fayyad, untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan di Tebing Barat sahaja secara terpisah daripada Semenanjung Gaza. Beliau juga menegaskan bahawa mengadakan pilihan raya dengan cara tersebut di sebahagian kawasan sahaja daripada sebuah negara akan menebal dan memperdalamkan lagi perpecahan politik dan geografi pada peringkat nasional.

Beliau berkata dalam satu kenyataan akhbar pada hari Ahad (25/4) yang diterima oleh Pusat Media Palestin bahawa keputusan tersebut memperteguhkan lagi kecenderungan tidak patriotik yang dipegang oleh kerajaan Fayyad dan usahanya untuk memecah belahkan negara sedangkan usaha-usaha sedang dijalankan untuk menjayakan persepakatan nasional dan mengembalikan semula pemuafakatan dalaman. Beliau juga turut menegaskan bahawa pihak berkuasa Fatah di Ramallah sentiasa berusaha ke arah yang bertentangan dengan kepentingan nasional Palestin.

Bahr menyeru Fatah dan pihak berkuasa Ramallah agar mengemukakan cadangan nasional yang tepat dan berusaha untuk memberhentikan segala perkara yang boleh menyebabkan perpecahan dan pertelagahan. Beliau juga menyeru agar pilihan raya tempatan yang dicadangkan berlangsung pada bulan Julai akan datang dibatalkan. Sebagaimana beliau juga turut menyeru agar kerajaan Fayyad membebaskan dirinya daripada mengikut telunjuk luar yang menghalang daripada berlakunya pemuafakatan nasional yang sepatutnya boleh menyelamatkan rakyat Palestin daripada cengkaman cabaran dan penderitaan yang dihadapinya setiap ketika.

sumber : http://www.palestine-info.info/ar/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan