Selamat Datang ke blog sautulhaqq

Rabu, 14 April 2010

ISRAEL PEMILIK SIMPANAN NUKLEAR TERBESAR KE-6 DUNIA


BAITULMAQDIS - Beberapa pakar percaya Israel berada dalam senarai negara pemilik simpanan nuklear terbesar dunia selepas AS, Rusia, Britain, Perancis dan China.

Namun, Tel Aviv secara konsisten tidak membuat sebarang pengakuan ataupun penafian mengenai program nuklear yang dibangunkan.

Kebanyakan maklumat berhubung program nuklear Israel diperoleh berdasarkan laporan berita dan sumber asing.

Pada 1985, bekas juruteknik di loji Dimona, Israel, Mordechai Vanunu mendedahkan beberapa foto dan data sulit mengenai kemudahan nuklear negara itu.

Semua data dan foto itu kemudian disiarkan akhbar London Sunday Times.:

Data menunjukkan Israel membangunkan program nuklear sofistikated membabitkan lebih 200 bom neutron.:

Semua bom-bom tersebut mampu dilancarkan bersama peluru berpandu jarak sederhana, dibawa pesawat pejuang F16 atau kapal selam misil.

Bukti foto pula mendedahkan beberapa rekaan terperinci, di mana pakar-pakar saintifik mendakwa Israel berupaya menghasilkan bom hanya dengan menggunakan bahan plutonium sebanyak empat kilogram.

Pakar dasar nuklear, Prof Yair Evron menganggap sikap berahsia Israel mengenai kewujudan program nuklear tidak ubah sebagai cereka diplomatik.

"Ini kerana kebanyakan komuniti dunia percaya bahawa Israel memiliki keupayaan senjata nuklear," katanya.

Kenyataan bekas Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert semasa melawat Jerman pada Disember 2006 mendedahkan status pemilikan nuklear negara Yahudi itu.

"Bolehkah anda berkata (keupayaan nuklear) Iran berada pada tahap sama apabila mereka bercita-cita memiliki senjata nuklear seperti Amerika Syarikat (AS), Perancis, Israel dan Rusia," katanya.

Sumber: Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan