Selamat Datang ke blog sautulhaqq

Jumaat, 16 April 2010

KELEBIHAN BERWAKAF

Wakaf adalah satu ibadah menyerahkan harta yang kita miliki untuk kegunaan Umat Islam dengan niat sebagai ibadah untuk mendekatkan diri kita kepada Allah Subhanahu Wa Taala.
Para Fuqahah (ahli fiqh dan ulama') berpendapat amalan wakaf merupakan ibadah yang berbentuk sedekah jariah yang menjanjikan ganjaran pahala yang berkekalan dan mengalir terus kepada pewakaf buat selama-lamanya dan sangat dituntut dalam agama Islam.
Ia merupakan suatu amal soleh yang mana pahalanya akan diberikan secara berterusan oleh Allah Subhanahu Wa Taala kepada pewakaf selagi mana harta atau ain yang diwakafkan itu kekal dan dimanfaatkan oleh orang ramai.
Kedudukan harta wakaf adalah kekal sebagai hak Allah Taala, dengan demikian kedudukan harta waqaf tidak boleh dimiliki, dijual, dihibah ( diberi ) , diwarisi dan dipusakai.
Allah S.W.T telah mensyariatkan wakaf, menganjur dan menjadikannya sebagai salah satu agenda untuk mendampingkan diri kepadanya dan memberikan pahala yang cukup besar bagi sesiapa yang menginfaqkan harta mereka ke jalan Allah Taala sebagaimana firman Allah yang bermaksud :-
“ Bandingan ( pahala ) orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah seumpama sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan tiap-tiap tangkai itu pula terdapat seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas ( KurniaNya ) lagi Maha Mengetahui”.
( Surah Al-Baqarah Ayat 261 )
Rasulullah S.A.W sendiri amat menggalakkan umatnya supaya memperbanyakkan sedekah jariah sebagaimana hadis :
"اِذَا مَاتَ ابْنِ آدَمَ اِنْقَطَعَ عَمَلَهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثٍ، صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْعِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُوْ لَهُ."
“ Apabila matinya seseorang anak Adam itu maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu SEDEKAH JARIAH, ILMU YANG DIMANFAATKANNYA dan ANAK YANG SOLEH yang sentiasa mendoakan kepada kedua ibubapanya.
( Hadis Riwayat Muslim )

1 ulasan:

  1. Salam..adakah jika kita berwakaf dan berniat pahala wakaf itu kepada ibu dan bapa?atau bagaimanakah cara niat yang betul supaya ia sampai kepada ibubapa?

    BalasPadam