Selamat Datang ke blog sautulhaqq

Sabtu, 24 April 2010

KRISIS PERUMAHAN JEJAS PENDUDUK GAZA


Runtuhan bangunan, besi-besi kitar semula, khemah perlindungan dan rumah daripada tanah liat memberi gambaran jelas mengenai krisis perumahan di Gaza sejak operasi ketenteraan Israel di wilayah itu berakhir lebih setahun lalu.

"Kami berada pada tahap sifar. Tiada langsung projek penempatan besar," kata bendahari Kesatuan Kontraktor Palestin (PCU), Mahmud Abed.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai situasi terkini keperluan pembinaan semula selepas perang Gaza.

Sekumpulan kontraktor di Gaza cuba mengingati semula detik-detik indah dilalui mereka di bangunan milik kesatuan itu yang dibina dengan mendapat bantuan pembiayaan Jerman dan dibuka semula pada 2005.

"Sekarang, negara-negara penderma luar tidak mahu lagi terlibat dalam sebarang projek yang membabitkan bahan konkrit yang diseludupkan bersama barangan lain menerusi jaringan terowong bawah tanah antara Gaza dan Mesir," kata Mahmud.

Menurutnya, konkrit yang diseludupkan tidak memenuhi standard pembinaan dan hanya rumah persendirian yang dibina menggunakan bahan-bahan itu.

Negara-negara penderma antarabangsa terpaksa mengetepikan sektor pembinaan dan usaha mengatasi krisis perumahan di Gaza.

Sebaliknya, mereka kini beralih kepada sektor pertanian dan ternakan.

Ahli lembaga pengarah PCU, Saadi Salama mengimbas semula saat kontraktor-kontraktor Gaza berbaris untuk menerima perjanjian bernilai lebih AS$100 juta (RM320 juta), termasuk projek perumahan di Khan Yunis dan Rafah.

"Sebelum 2007, setiap kontraktor memiliki lebih 100 pekerja. Tetapi sekarang, buruh dan jurutera hilang pekerjaan. Hari ini, kurang 50 daripada 220 kontraktor yang masih aktif di Gaza," katanya.

Saadi berkata, sektor-sektor swasta mengalami kerugian besar sejak Israel mengenakan sekatan ke atas Gaza selepas wilayah itu dikuasai Hamas daripada seteru politiknya, Fatah pada Jun 2007.

"Kontraktor swasta kini sudah membuat tuntutan pampasan kepada Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) yang akan membuat rayuan antarabangsa," katanya.

Jurucakap UNRWA, Adnan Abu Hasna begitu bersimpati dengan krisis dihadapi kontraktor Palestin.

"Mereka jelas mengalami kerugian dan begitu juga kami. Kontraktor benar-benar sudah dimusnahkan dan bukan hanya kepada mereka yang bekerja dengan UNRWA," katanya.

Di sebalik pelbagai kaedah yang digunakan penduduk Palestin untuk mengatasi kesukaran hidup akibat sekatan perdagangan, kegiatan menghancurkan baru menjadi aktiviti utama di Gaza.

Ini termasuk aktiviti mengitar semula serpihan baru dan besi daripada runtuhan bangunan yang musnah akibat serangan rejim Israel.

Batu-batu besar yang digali dan dicari di bawah runtuhan akan dibawa menggunakan keldai ke kilang-kilang menghancur batu untuk meraih bayaran harian sekitar AS$7 (RM22).

"Kami berpatah balik kepada 50 tahun lalu. Sekarang mereka menggunakan tanah liat untuk membina rumah yang sepatutnya hanya digunakan untuk pertanian. Kami tidak mahu terbabit dengan UNRWA dalam projek rumah lumpur," kata kontraktor, Hisham Skaik.

Bagaimanapun, Adnan mempertahankan pelancaran projek UNRWA untuk membina 120 unit rumah sekitar Gaza sebagai penyelesaian sementara kepada situasi kemanusiaan di wilayah itu.

Projek itu bertujuan mengurangkan jumlah keluarga yang tinggal di khemah-khemah perlindungan dan kontena yang diubahsuai mencari tempat kediaman.

Adnan berkata, rumah-rumah jenis banglo dilengkapkan dengan bilik mandi, dapur dan ruang tidur dalam reka bentuk tradisional dengan menggunakan kaedah terkini, mesra pengguna dan bahan-bahan tahan cuaca.

"Rumah-rumah itu dibina menggunakan dua atau tiga peratus simen yang diperlukan untuk membina rumah konvensional," katanya sambil memberi jaminan keselamatan terhadap projek perumahan tersebut.

Menurutnya, perang yang tercetus antara Disember 2008 dan Januari 2009 menyebabkan kira-kira 60,000 rumah penduduk Gaza rosak atau musnah manakala lebih 300,000 orang terjejas.

Ketika jumlah pangsapuri untuk disewa berkurangan, beribu-ribu keluarga Gaza terpaksa bergantung kepada sanak saudara masing-masing untuk mendapatkan kemudahan.

Situasi tersebut meningkatkan kebimbangan mengenai masalah sosial disebabkan kesesakan melampau di sesuatu kawasan perumahan.

"Dalam pelbagai siri mesyuarat dilakukan dengan penduduk, kami cuba meyakinkan mereka mengenai kepentingan keselamatan dan kestabilan bagi setiap orang," kata Adnan.

Beliau menegaskan krisis perumahan berisiko menyebabkan masalah sosial selain meningkatkan aktiviti ekstremis.

Sumber: Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan