Selamat Datang ke blog sautulhaqq

Isnin, 30 Ogos 2010

KONVOI PELAYARAN BESAR-BESARAN KE GAZA...


KONVOI PELAYARAN BESAR-BESARAN KE GAZA DIRANCANG PADA NOVEMBER 2010 UNTUK MEMBERI TEKANAN DAN MENGHAPUSKAN SEKATAN KE ATAS GAZA DAN KESELURUHAN BUMI PALESTIN

Lebih banyak badan NGO bersama-sama menyertai LL4G memprotes kekejaman Zionis Israel ke atas Palestin

KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Gabungan badan NGO di bawah Talian Hayat untuk Gaza (LL4G) mengumumkan rancangan melancarkan kempen pelayaran kemanusiaan ke Gaza yang dijangkakan pada bulan November tahun ini dengan cita-cita yang berkobar-kobar bagi menamatkan embargo ekonomi yang dikenakan ke atas penduduk di Gaza dan Palestin.

Pelancaran konvoi pelayaran Gaza ini dilancarkan bersempena dengan semangat kemerdekaan rakyat Malaysia yang bebas dan hidup aman dan damai berbanding dengan rakyat Palestin yang hidup terpenjara di bawah cengkaman zionis Israel sejak sekian lama. Kesan daripada penglibatan rakyat Malaysia semasa konvoi flotilla lalu yang digerakkan oleh badan NGO Malaysia, ianya telah menarik minat para relawan dari negara kita dan juga negara-negara ASEAN lain seperti Indonesia, Brunei, Thailand, Singapura, Kemboja dan Vietnam untuk turut serta dalam konvoi pelayaran kali ini.

Konvoi kedua pelayaran Gaza kali ini akan melibatkan pelbagai badan NGO antarabangsa yang mensasarkan lebih 200 kapal yang akan belayar bersama-sama menghantar bantuan dan seterusnya menamatkan embargo ekonomi ke atas Palestin.

Di negara kita, gabungan NGO LL4G sekarang ini telahpun bertambah menjadi 16 anggota. Setiap badan NGO yang bernaung di bawah LL4G masing-masing di seluruh negara mengambil inisiatif menganjurkan pelbagai aktiviti dan kempen seperti golf amal, majlis makan malam, mini maraton, ceramah-ceramah, pameran dan kempen kutipan melalui SMS.

Sasaran kutipan dana pada kempen kali ini ialah RM7 juta bagi meneruskan usaha membantu rakyat Palestin yang telah dijajah.

Kutipan yang ada ini akan digunakan untuk pembelian kapal kargo yang akan diubahsuai bagi membawa penumpang, bahan perubatan, barangan pendidikan, barangan keperluan asas penduduk, barangan binaan perlaksanaan mini projek seperti telaga air dan bilik bedah di hospital bagi membangun semula Palestin.

Gabungan badan NGO LL4G amat mengalu-alukan sebarang usaha yang berkaitan sokongan terhadap isu Palestin ingin mengajak lebih ramai lagi orang ramai dalam kalangan masyarakat tidak mengira agama, bangsa untuk menyatakan `tidak’ kepada kekejaman Israel ke atas Gaza dan rakyat Palestin.

Kesan peristiwa berdarah dari konvoi `Mengakhiri sekatan Gaza-LL4G’ pada akhir Mei, 2010 di atas Marvi Marvara, telah memberi kesedaran baru kepada seluruh masyarakat dunia termasuklah juga di Negara kita. Seramai 12 orang relawan Malaysia yang berada di atas kapal Marvi Marmara lalu tanpa jemu-jemu turun padang memberikan penerangan dan ceramah mengenai kezaliman dan kejahatan askar Zionis Israel di seluruh negara. Justeru itu, gabungan LL4G ingin menegaskan agar segala kejahatan dan jenayah zionis Israel ini perlu didedahkan dan dibawa ke muka pengadilan antarabangsa.

Gabungan badan NGO LL4G juga berharap agar seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira status, agama dan latarbelakang menyokong usaha yang suci murni ini. Isu ini bukanlah isu orang Arab atau isu umat Islam. Perkara ini boleh berlaku di mana-mana negara. Isu sebenarnya ialah untuk menyatakan ketegasan kita untuk tidak mengiktiraf perhambaaan, aparted dan perlanunan oleh zionis Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza dan di Palestin. Kita tidak boleh berdiam diri dengan tindakan kejam ini. Marilah sama-sama kita bersatu dan berpadu menyuarakan kezaliman dan kekejaman yang dirasai oleh penduduk Palestin sejak enam dekad lalu.

Antara 16 badan NGO utama yang terlibat dengan gabungan projek Lifeline4 Gaza kali ini ialah:
1. HALUAN Malaysia
2. Haluan Palestin
3. Dewan Pemuda Masjid
4. Yayasan Amal Malaysia
5. Pertubuhan Mawaddah Malaysia
6. Muslim Care Malaysia
7. ABIM
8. Viva Palestina Malaysia
9. Aqsa Syarif Sdn. Bhd.
10. JIM
11. PACE
12. Barakah, gabungan NGO Islam Pahang
13. FORUM, gabungan NGO Islam Pulau Pinang
14. CAKNA Palestin
15. AMAN Malaysia
16. Aman Palestin Berhad

Sumbangan

Kami amat mengalu-alukan sumbangan kewangan bagi konvoi kemanusiaan Gaza kedua melalui akaun utama di bawah:

Nama Akaun : “TABUNG PALESTIN HALUAN”
No. Akaun : 5644 9020 8528
Bank : Maybank Berhad

Kami juga mengalu-alukan sumbangan korporat dan zakat di mana sumbangan dapat dimasukkan ke dalam akaun yang tertera di atas.

Sumber: http://www.lifeline4gaza.org

Tiada ulasan:

Catat Ulasan