Selamat Datang ke blog sautulhaqq

Jumaat, 8 Oktober 2010

Liga Arab sokong Abbas keluar rundingan


TRIPOLI: Liga Arab dijangka memberi sokongan kepada pemimpin Palestin, Mahmoud Abbas yang tiba di sini kelmarin untuk meninggalkan meja rundingan damai dengan Israel kecuali negara Zionis itu memperbaharui pembekuan pembinaan kediaman pendatang Yahudi.

Kemungkinan itu kian diyakini selepas Israel menolak tawaran AS memberi insentif tertentu jika ia membekukan sekali lagi pembinaan kediaman pendatang Yahudi di Tebing Barat. Alasan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bahawa beliau tidak dapat melakukannya berdasarkan komposisi parti dalam kerajaannya menjadi satu lagi faktor Abbas keluar rundingan, lapor akhbar Jerusalem Post.
Mesyuarat antara Abbas dan negara anggota Liga Arab itu akan mengambil masa beberapa hari.

Nabil Kukali, pengarah Pusat Palestin bagi Pandangan Awam di Ramallah, Tebing Barat, memberitahu agensi berita dia percaya Liga Arab akan menyokong pendirian Abbas.
“Saya rasa mereka akan sokong Abbas, Wakil Palestin perlu lakukan apa yang perlu dibuat. Mereka terlalu banyak bertolak ansur tetapi tidak mendapat apa-apapun dari Israel. Jadi, Israel yang membuat keputusan hingga menyebabkan rundingan terhenti,” katanya.

Ditanya apakah reaksi penduduk Palestin jika Abbas meneruskan rundingan dengan Israel tetapi pada masa sama kediaman penempatan terus dibina, Kukali berkata: “Majoriti penduduk Palestin menentang tetapi mereka tetap menyokong Abu Mazen,” katanya.
Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton cuba memberi jaminan kepada Abbas bahawa Amerika akan cuba memujuk Netanyahu memperbaharui tempoh larangan membina penempatan Yahudi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan