Selamat Datang ke blog sautulhaqq

Khamis, 7 Oktober 2010

Perbicaraan Semula Kes Pembunuhan Rachel Corrie


7 Oktober 2010 - Pada pagi Khamis, Mahkamah Daerah Haifa telah memulakan perbicaraan semula kes yang telah mereka putuskan pada bulan Mac lalu, selepas seorang hakim Israel kemudiannya memutuskan bahawa pihak Mahkamah harus mendengar bukti lebih lanjut mengenai pembunuhan Rachel Corrie dengan buldozer berperisai Israel pada tahun 2003.

Kes ini adalah sebuah tuntutan awam yang dibuat oleh ibubapa Corrie ke atas pihak tentera Israel di atas kematian anak perempuan mereka yang dibunuh oleh anggotanya. Israel tidak pernah menyatakan identiti askar-askar yang bertanggungjawab menggilis, Rachel Corrie, 23 tahun, dengan buldozer, dengan alasan untuk menjaga privasi.

Dalam menyambung pertimbangan ke atas kes ini, mahkamah Israel mengakui bahawa mungkin telah berlaku kesilapan dalam keputusan yang dibuat sebelum ini di mana pihak tentera telah tidak dipertanggungjawabkan di atas kematian Corrie.

Aktivis keamanan yang masih muda itu terbunuh sewaktu berdiri di depan rumah seorang doktor Palestin di Rafah, Jalur Gaza selatan, dalam usahanya melakukan protes tanpa kekerasan bagi menghalang rumah tersebut dari dirobohkan. Sebuah buldozer Israel buatan Amerika, Caterpillar, telah melanggar Corrie selama beberapa kali menyebabkan kematiannya.

Bapa Rachel Corrie, Craig Corrie, ketika bercakap kepada para wartawan di luar bilik mahkamah di Haifa, berkata, "Kami meneruskan tuntutan ke atas kes ini bukan hanya untuk anak kami sahaja ... tetapi juga untuk orang-orang awam yang dibunuh di Gaza, masih diingati, masih disayangi, dan masih menantikan keadilan."

Ibunya, Cindy, berkata, "Ketika anak perempuan kami dibunuh, kerajaan Israel berjanji untuk melakukan siasatan secara menyeluruh, boleh dipercayai dan telus ke atas kematiannya, namun keluarga kami serta kerajaan kami percaya bahawa apa yang dijanjikan telah gagal dipenuhi. Setelah tujuh tahun berlalu, kami berharap saksi-saksi kerajaan Israel akan dipaksa oleh mahkamah ini untuk memberikan jawapan yang telah sekian lama kami nantikan."

Kes keluarga Corrie terhadap pemerintah Israel ini mempertanggungjawabkan pihak tenteranya di atas kematian anak mereka, dan mendakwa yang pegawai tentera Israel lalai dalam menjalankan tugas mereka, dan mencabul undang-undang antarabangsa dan perjanjian yang telah ditandatangani apabila membunuh Rachel.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan