Selamat Datang ke blog sautulhaqq

Isnin, 15 November 2010

Norway Biayai Drama Pentas Anti-Israel


16 November 2010 - Baitul Maqdis - Kementerian Luar Israel di Baitul Maqdis mendapat laporan bahawa Majlis Perbandaran Trondheim, di Norway, membiayai kos perjalanan ke New York bagi pelajar-pelajar yang menyertai sebuah drama pentas berjudul "Gaza Monologues".

"Gaza Monologues" adalah sebuah drama pentas yang ditulis oleh seorang rakyat Palestin dari Gaza dan akan dilakunkan di ibupejabat PBB di New York. Sebahagian dari drama pentas itu melibatkan aksi yang menunjukkan mayat bayi-bayi Palestin bergelimpangan berhampiran dengan helmet-helmet tentera Israel serta bendera Israel yang berlumuran dengan darah.

Drama Pentas itu berkisar di sekitar subjek bagaimana penjajahan Israel telah mempengaruhi kehidupan kanak-kanak di Gaza dan memaparkan kesulitan yang harus mereka hadapi dari sehari ke sehari. Di samping mengirim pelajar untuk mengambil bahagian dalam drama pentas berkenaan, Norway juga membantu pengedaran filem dokumentari yang diberi judul "Tears of Gaza" untuk festival filem di seluruh dunia.

Kedutaan Besar Israel di Norway memprotes keras penglibatan kerajaan Norway dalam perkara ini. "Polisi rasmi serta terbuka Norway membicarakan tentang pemahaman dan perdamaian," kata pegawai rasmi Israel, "tetapi sejak perang di Gaza, Norway telah menjadi kuasa besar dalam kerja-kerja mengeksport bahan multimedia yang bertujuan untuk menidakkan kewujudan sah Negara Israel, sambil menggunakan dana pembayar cukai Norway bagi menghasilkan dan mengedarkan bahan-bahan multimedia berkenaan."

Bagaimanapun, kerajaan Norway bertindakbalas terhadap kritikan tersebut dengan mengatakan bahawa kerajaan itu menyokong kebebasan berkarya dan tidak akan campurtangan dalam perkara penghasilan karya seni.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan