Selamat Datang ke blog sautulhaqq

Rabu, 23 Februari 2011

Operasi Menyelamat Dan Bawa Pulang 190 Rakyat Malaysia Di Libya Bermula


KUALA LUMPUR: Kerajaan sudah menghantar sebuah pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk operasi menyelamat dan membawa pulang 190 rakyat Malaysia di Libya yang kini dilanda kebangkitan rakyatnya mendesak pemimpin mereka, Muammar Gaddafi meletakkan jawatan.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata, pesawat itu sudah mendarat di Slovakia sebelum ke Rome, Itali serta ke Lapangan Terbang Tripoli, Libya. Bagaimanapun, kerajaan belum menerima hak mendarat daripada pihak berkuasa negara berkenaan bagi membawa pulang rakyat ke tanah air.

“Kita faham keadaan di sana agak kelam kabut dengan lapangan terbangnya ditutup. Namun, usaha perlu dilakukan untuk memindahkan rakyat dari pejabat kedutaan di Tripoli ke negara berdekatan seperti Itali atau Dubai yang dijadikan sebagai pusat transit. “Bila mereka dipindahkan bergantung kepada kebenaran pihak berkuasa negara berkenaan dan mungkin mengambil masa seminggu atau lebih,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Laporan sebelum ini yang memetik kenyataan Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohilan Pillay, operasi menyelamat rakyat Malaysia di Libya mungkin akan menggunakan laluan darat jika opsyen laluan udara gagal dilaksanakan. Pertumpahan darah di negara Afrika Utara itu terus meningkat daripada 400 orang kepada 1000 orang apabila Muammar Gaddafi mengarahkan tentera menyerang rakyat yang melakukan protes anti kerajaan menggesa beliau berundur dari tampuk pemerintahan selepas 42 tahun memerintah di Libya.

Tindakan Gaddafi dikecam masyarakat antarabangsa yang mendesak beliau menghentikan keganasan terhadap penunjuk perasaan. Keadaan di negara itu dilaporkan semakin bergolak dengan penunjuk perasaan menyerang bangunan kerajaan serta merosakkan lapangan terbang Benghazi ketika ramai warga asing mulai meninggalkan negara itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan