Selamat Datang ke blog sautulhaqq

Khamis, 3 Februari 2011

Pelantikan Rektor KISDAR : Kerajaan Negeri hilang kredibiliti


Kerajaan Negeri Perak dilihat telah semakin hilang kredibiliti apabila terus menyambung kontrak Datuk Dr. Mohamed Yusuf Hussain sebagai Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan. Penyambung kontrak tersebut merupakan kali ketiga selepas kontrak tersebut tamat pada bulan Oktober 2010.

Kali pertama kontrak itu disambung adalah selama 2 bulan iaitu sehingga 31 Disember 2010, selepas itu kontrak tersebut disambung lagi selama 1 bulan iaitu sehingga 31 Januari 2011. Maklumat terbaru menyebut bahawa kontrak tersebut disambung lagi bermula 1 Februari 2011 sehingga tempoh 6 bulan ke 1 tahun.

Kerajaan Negeri Perak dikatakan masih gagal untuk mencari Rektor baru yang dapat diterima oleh semua pihak yang tertentu. Perbalahan dan perbezaan pandangan diantara pihak-pihak tertentu di dalam Kerajaan Negeri dalam memilih Rektor baru menyebabkan khidmat Rektor lama diteruskan.

Beberapa orang calon Rektor telah dikemukakan tetapi Kerajaan Negeri masih gagal dan tiada kata sepakat untuk memilih seorang Rektor yang benar-benar layak dan mampu untuk menerajui Kolej Islam Darul Ridzuan. Kegagalan tersebut menggambarkan bahawa Kerajaan Negeri Perak telah hilang kredibiliti dan keupayaan untuk mentadbir negeri.

Kerajaan Negeri Perak dilihat seolah-olah hilang pedoman apabila terus menyambung kontrak Datuk Dr. Mohammed Yusuf Hussain yang mengalami masalah kesihatan yang serius. Masalah kesihatan Datuk Dr. Mohammed Yusuf Hussain difahamkan bermula sejak tahun 2008 dan amat ketara sejak akhir-akhir ini.

Datuk Dr. Mohammed Yusuf Hussain telah tidak hadir ke Kolej selama 3 bulan iaitu sejak bulam November 2010 kerana menjalani rawatan di beberapa pusat rawatan termasuk di IJN. Menurut sumber-sumber tertentu keadaan fizikal Datuk Dr. Mohammed Yusuf Hussain semakin kurus, tidak bermaya, sentiasa kelihatan letih, berjalan perlu dipimpin dan mengalami masalah jantung yang serius menggambarkan bahawa beliau tidak berupaya lagi untuk menjalankan tugas sebagai Rektor dengan baik dan berkesan.

Bagaimana mungkin seorang yang sedang sakit dan lemah mampu untuk berfikir secara proaktif, merancang dan menjalankan tugas dengan baik. Keadaan ini boleh menyebabkan pelbagai kepincangan di dalam pengurusan dan pentadbiran Kolej. Situasi ini juga dikhuatiri akan memberi kesan dan melambatkan usaha yang sedang giat dilaksanakan untuk menaikkan taraf kolej ke Kolej Universiti.

Kerajaan Negeri Perak telah mengambil sikap memandang ringan terhadap isu Kolej Islam Darul Ridzuan. Sekiranya Kerajaan Negeri benar-benar serius ingin melihat Kolej Islam Darul Ridzuan terus maju dan membangun maka isu perlantikan Rektor baru Kolej Islam Darul Ridzuan perlu diselesaikan segera. Kerajaan Negeri perlu segera melantik Rektor baru yang benar-benar berkelayakan dan mampu memimpin dan mentadbir Kolej dengan bijaksana, professional dan agresif.

Rektor merupakan individu utama untuk menggerak dan membangunkan Kolej. Kegagalan Kerajaan Negeri melantik Rektor baru yang lebih berkeupayaan fizikal, mental dan intelektual boleh menyebabkan berlaku pelbagai kepincangan dan masalah dalaman Kolej seterusnya membantutkan usaha menaik taraf Kolej. Sebagai satu-satunya institusi pendidikan milik Kerajaan Negeri maka amat wajar Kerajaan Negeri memberi perhatian yang serius dan lebih terhadap Kolej Islam Darul Ridzuan. Dengan ini segala matlamat, visi dan misi Kolej dapat dicapai.

Kerajaan Negeri Perak juga dilihat telah hilang keupayaan untuk mentadbir negeri apabila gagal mendapat kata sepakat berhubung isu perlantikan Rektor baru Kolej Islam Darul Ridzuan. Kegagalan memilih seorang calon Rektor di antara beberapa calon yang ada membukti bahawa wujud pihak-pihak yang berkepentingan di dalam isu tersebut. Kemelut perlantikan Rektor baru Kolej Islam Darul Ridzuan telah berlarutan beberapa bulan.

YB Dato’ Hj Mohd Zaim Abu Hassan selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Kolej Islam Darul Ridzuan langsung tidak berperanan dalam kemelut ini dan beliau lebih selesa bertindak sebagai boneka semata-mata. YAB Menteri Besar Perak seolah-olah telah hilang kuasa untuk membuat keputusan dan menentukan siapakah yang layak untuk menjadi Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan. YAB Menteri Besar Perak amat lemah sehingga tidak berupaya untuk menyelesaikan kemelut perlantikan Rektor baru Kolej Islam Darul Ridzuan yang berlarutan sehingga beberapa bulan.

Bagaimana mungkin YAB Menteri Besar Perak dapat mentadbir Negeri Perak dengan baik sedangkan kemelut sekecil itupun tidak mampu untuk diselesaikan. Apakah benar YAB Menteri Besar Perak telah hilang kuasa ? Apakah benar wujud pihak lain yang lebih berkuasa di dalam Kerajaan Negeri Perak ? atau apakah benar wujud ‘de-facto leader’ di dalam Kerajaan Negeri Perak ? Jika benar, siapakah yang lebih berkuasa itu ? dan siapakah ‘de-facto leader itu ? YB Dato’ Seri Dr Abd Rahman Hashim selaku Setiausaha Kerajaan Negeri Perak mungkin tahu jawapannya ?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan