Selamat Datang ke blog sautulhaqq

Selasa, 15 Februari 2011

Perjumpaan Gabungan LL4G Bincang Freedom Flotilla Two


SHAH ALAM, 15 Feb 2011 — Gabungan NGO prihatin Palestin di bawah Lifeline 4 Gaza (LL4G) telah mengadakan satu perjumpaan bagi membincangkan penglibatan mereka bersama gabungan NGO antarabangsa untuk menjayakan Freedom Flotilla Two. Freedom Flotilla Two dirancang memulakan pelayaran akhir bulan Mei 2011.

Dalam ucapan aluannya, Pengerusi LL4G Tn Hj Noorazman Mohd Samsuddin menyebut bahawa masyarakat dunia hari ini terus menunjukkan sokongan terhadap usaha kemanusiaan bagi membebaskan Palestin daripada penaklukan dan kezaliman rejim Zionis. Aktivis-aktivis kemanusiaan dari berbagai bangsa dan agama termasuklah bangsa Yahudi sendiri, sudah tidak dapat lagi menerima kekejaman yang berlaku kerana secara fitrahnya naluri manusia akan sentiasa cenderong kepada kebenaran dan kedamaian.

Antara yang hadir dalam perjumpaan tersebut termasuklah Datuk Ahmad Zaki Zahid dari Aman Malaysia, Pn Norlela Nann dari Pertubuhan Mawaddah Malaysia, En Zulkefli Mohd Nani dari Muslim Care dan Hj M Shahool Hameed dari Palestine Public Campaign to Protect Palestine (PC2P.)

Tn Hj Noorazman yang baru pulang dari perjumpaan NGO antarabangsa Freedom Flotilla Two di Madrid menjelaskan bahawa tujuan utama pelayaran antarabangsa kali ini adalah untuk memberi tekanan kepada rejim Zionis supaya menghentikan sekatan ke atas Gaza dan seterusnya mengembalikan kedaulatan undang-undang antarabangsa yang selama ini dinodai oleh rejim zalim itu.

Perjumpaan di pejabat HALUAN Palestin itu turut membincangkan beberapa aktiviti yang akan dianjurkan oleh gabungan LL4G sepanjang tempoh menjelang pelayaran Freedom Flotilla Two nanti. Antaranya, satu seminar antarabangsa mengenai Palestin dan kezaliman Zionis dijadualkan pada 26hb Mac nanti.

Turut dirancang adalah projek Children Expression Campaign di mana pertandingan melukis akan diadakan di setiap sekolah di Malaysia bagi pelajar-pelajar menggambarkan perasaan mereka terhadap kanak-kanak di Palestin. Pada masa yang sama, kanak-kanak sekolah di Gaza juga akan melukis harapan mereka terhadap masyarakat dunia. Beberapa orang wakil kanak-kanak Palestin tersebut akan bersama-sama hadir di perhimpunan besar-besaran rakyat Malaysia yang akan diadakan pertengahan bulan May, iaitu seminggu sebelum aktivis-aktivis Malaysia berlepas.

Perjumpaan ini turut merakamkan ucapan takziah dan menghadiahkan bacaan al-Fatihah di atas pemergian Pengerusi Viva Palestina Malaysia (VPM) Datuk Adnan Mohd Tahir ke rahmatullah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan