Selamat Datang ke blog sautulhaqq

Jumaat, 15 April 2011

Diktator Hosni Mubarak Dibicara Di Muka Pengadilan Selasa Ini


KAHERAH, 15 April – Bekas Presiden Mesir, diktator Hosni Mubarak dan dua anak lelakinya, Gamal dan Alaa akan dihadapkan ke mahkamah pada Selasa depan berhubung dakwaan menyalahgunakan kuasa. Peguam Negara, Abdel Maguid Mahmoud semalam mengarahkan ketiga-tiga beranak itu ditahan selama 15 hari untuk disoalsiasat berhubung dakwaan menyalahgunakan kuasa, menggelapkan wang kerajaan dan mengarahkan tindakan kekerasan keatas para penunjuk perasaan.

Berita mengenai penahanan tiga beranak itu meredakan sedikit kemarahan penunjuk perasaan yang menuntut jeneral yang memerintah negara ini supaya membawa diktator Hosni Mubarak ke muka pengadilan. Diktator Hosni Mubarak berundur dari tampuk pemerintahan Mesir pada 11 Februari 2011 yang lalu berikutan pemberontakan rakyat Mesir selama 18 hari yang meragut lebih daripada 380 nyawa.

Diktator Hosni Mubarak, 82 disoal siasat kelmarin sebelum dibawa ke unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital di pusat peranginan Sharm el- Sheikh kerana serangan jantung. Seorang doktor yang dilantik oleh badan kehakiman telah memeriksa diktator Hosni Mubarak untuk memastikan sama ada beliau boleh dipindahkan ke hospital lain atau tidak, kata sumber perubatan. Bagaimanapun sumber keselamatan berkata, diktator Hosni Mubarak dijangka akan terus ditahan di Sharm el-Sheikh atas sebab-sebab keselamatan.

Seorang saintis politik dan aktivis pembaharuan, Hassan Nafaa menyifatkan penahanan diktator Hosni Mubarak sebagai langkah penting ke arah membawa beliau ke muka pengadilan dan menamatkan spekulasi bahawa kerajaan dan tentera yang memerintah sekarang masih bersekongkol dengan bekas Presiden itu.

Ratusan ribu rakyat Mesir menunjuk perasaan di Dataran Tahrir di Kaherah pada Jumaat yang lalu bagi membantah kelewatan membicarakan Hosni Mubarak di muka pengadilan. Aktivis pembaharuan berkata, mereka menangguhkan rancangan untuk mengadakan protes esok kerana mahu mengambil sikap tunggu dan lihat sama ada perbicaraan Mubarak akan diadakan segera atau tidak. “Tentera perlu tunduk kepada tekanan rakyat supaya diktator Hosni Mubarak dan keluarganya dibawa ke muka pengadilan,” kata seorang penganalisis politik, Fahmy Hueidi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan