Selamat Datang ke blog sautulhaqq

Isnin, 18 April 2011

Misi LL4G-2 Ditangguh Ke Akhir Bulan Jun


Subang, Selasa 19 Apr 2011 — Perancangan Freedom Flotilla Two untuk belayar ke Gaza pada akhir bulan Mei ini ditangguh ke akhir bulan Jun 2011. Demikian menurut Tn Hj Noorazman Mohd Samsuddin yang mewakili delegasi flotilla Asia Tenggara dalam satu mesyuarat teknikal di Athens pada 14 April baru lalu. Penangguhan ini adalah berikutan komitmen salah satu penganjur utama flotilla iaitu Insani Yardim Vakfi (IHH) yang berpengkalan di Turki terhadap pilihanraya di negara tersebut. Menurut kenyataan jurucakap IHH, Salih Bilici, mereka akan hanya berlepas ke Gaza akhir Jun, selepas proses pilihanraya.

“Kami tidak mahu misi ini diganggu oleh berbagai kontroversi yang mungkin terjadi ketika negara kami melangsungkan pilihanraya,” kata Bilici sebagaimana dilaporkan oleh Al-Ahram online. Flotilla kali ini bakal disertai oleh 15 buah kapal dan lebih seribu relawan dari 50 buah negara. Perancangan asal untuk belayar pada akhir bulan Mei adalah sebagai memperingati setahun peristiwa serangan ganas tentera zionis terhadap Freedom Flotilla 1 pada 31 Mei 2010, di mana 9 orang relawan terbunuh manakala lebih 60 orang relawan lain tercedera. Seramai 12 orang relawan Malaysia turut berada di atas kapal Mavi Marmara ketika kejadian tersebut.

Tn Hj Norazman turut menegaskan bahawa kapal Mavi Marmara yang telah menerajui Freedom Flotilla 1 akan turut menyertai flotilla kali ini. Menurut beliau lagi, semua peserta akan berangkat serentak namun beliau tidak menyebut nama tempat di mana flotilla tersebut akan bertolak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan