Selamat Datang ke blog sautulhaqq

Sabtu, 23 April 2011

Rejim Zionis Tetap Akan Menyerang Kapal Yang Menyertai Misi LL4G Ke-2


NEW YORK: Rejim zionis telah memberi amaran kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya tidak akan membenarkan armada kapal flotilla LL4G ke-2 masuk ke Gaza dengan menuduh penganjurnya ada hubungan dengan pihak Hamas dan organisasi pengganas yang lain.

Armada kapal pengangkut bantuan baru dirancang masuk ke Gaza pada akhir Jun depan, selepas genap lebih setahun tragedi komando zionis menyerbu kapal Turki, Mavi Marmara dengan cara yang amat biadap dan menyebabkan beberapa aktivis warganegara turki maut. Flotilla baru yang dirancang masuk ke Gaza ini dijangka lebih besar dengan 15 buah kapal yang membawa lebih kurang 1,000 orang aktivis bagi merempuh sekatan laut tentera zionis di wilayah Palestin khususnya wilayah Gaza.

Ahli lembaga IHH, Huseyin Oruc memberitahu agensi berita bahawa ketika ini aktivis yang bakal menyertai misi flotilla ini adalah terdiri daripada lebih 20 buah negara. Beliau berkata lagi kebanyakan aktivis yang berminat menyertai misi itu datangnya dari negara Sepanyol, Perancis, Itali, Amerika Syarikat, Britain, Kanada, Norway, Sweden, Ireland, Malaysia dan beberapa negara Teluk yang lain.

Ketika bercakap kepada PBB, Duta rejim zionis ke PBB, Meron Reuben berkata:" Ramai peserta yang terbabit dengan rancangan flotilla ini membuat kenyataan yang menyusahkan. Mereka meluahkan kerelaan mereka untuk mati syahid dalam usaha ini,” dakwa Reuben. Beliau juga menuduh penganjur flotilla terbaru ini melakukan provokasi politik dan menghantar bantuan kemanusiaan bukan isu sebenar.

Oleh itu katanya, pihak rejim zionis telah bertekad untuk menguatkuasa sekatan laut bagi wilayah Gaza dan "menghentikan lebih ramai pengganas daripada memasuki kawasan itu".

Amerika Syarikat menyokong kenyataan Reuben dengan Duta Amerika Syarikat ke PBB, Susan Rice berkata: "Ada cara lain untuk menghantar bantuan ke Gaza dan tiada justifikasi untuk berlayar terus ke Gaza," katanya.

Duta Jerman, Peter Witting menyatakan sentimen serupa pada mesyuarat itu dan memberi amaran kemasukan kapal flotilla terbaru itu akan membuka peluang menaikkan ketegangan di Gaza. "Kita minta organisasi terbabit mencari jalan lain untuk menghantar bantuan kepada penduduk Gaza," kata Peter Witing

Tiada ulasan:

Catat Ulasan