Selamat Datang ke blog sautulhaqq

Selasa, 3 Mei 2011

Asal Usul Perayaan Hari Ibu


Sejarah hari ibu telah dikenalpasti sebagai perayaan musim bunga orang-orang Greece. Ianya disambut oleh orang-orang Greece sebagai penghormatan terhadap Rhea, ibu kepada tuhan mereka. Pada tahun 1600 orang-orang England telah merayakan hari berkenaan dan mereka menamakan perayaan tersebut sebagai perayaan "Mothering Sunday". Ia dirayakan pada hari Ahad keempat setiap Lent. Lent ialah satu tempoh masa 40 hari dalam bulan Februari atau Mac. Dalam tempoh ini, sebahagian orang-orang Kristian akan berhenti melakukan atau memakan makanan tertentu atas alasan agama mereka. Amalan tersebut adalah sebagai penghormatan mereka terhadap Mother Mary. Mother Mary adalah Maryam, ibu kepada Nabi Isa a.s. atau Jesus yang mereka anggap sebagai tuhan.

Dalam tempoh itu juga, kebanyakan rakyat England yang faqir miskin akan bekerja sebagai pembantu rumah. Mereka sanggup keluar jauh meninggalkan keluarga mereka kerana percaya bahawa Jesus akan memberikan kekayaan dan kesenangan kepada mereka dalam tempoh tersebut. Menjelang hari Ahad ke-4, mereka digalakkan untuk bercuti oleh majikan dan mereka akan pulang ke kampung halaman untuk bertemu dengan ibu. Setiap ibu akan dihadiahkan dengan "Mothering Cake" atau kek hari ibu sempena perayaan tersebut.

Amalan dan tradisi ini telah menular ke seluruh dunia dan ia kini disambut sebagai penghormatan kepada Mother Church. Mother Church dianggap sebagai kuasa spiritual yang agung yang memberi manusia kehidupan dan memulihara mereka dari sebarang kecederaan. Sejak dari itulah, perayaan Mothering Sunday telah diadun dengan upacara kegerejaan. Penghormatan mereka terhadap ibu sama taraf dengan penghormatan mereka terhadap gereja.

Di AS, Hari Ibu disambut seawal tahun 1872. Ianya adalah hasil ilham Julia Ward Howe. Beliau adalah seorang aktivis sosial dan telah menulis puisi " The Battle Hymn of The Republic". Puisi ini telah dijadikan lagu patriotik yang popular di kalangan warga AS. Ungkapan "Hallelujah" dalam bait-bait lagu tersebut begitu menyerlahkan lagi sentuhan Yahudi dan Zionis dalam mencaturkan politik dunia.

Pada tahun 1907, Anna Jarvis dari Philadelphia telah memulakan kempen untuk melancarkan Hari Ibu. Beliau telah berjaya mempengaruhi Mother's Church di Grafton, West Virginia agar merayakan dan meraikan Hari Ibu pada hari ulang tahun ke-2 kematian ibunya iaitu pada hari Ahad kedua dalam bulan Mei. Semenjak dari itulah, Hari Ibu dirayakan saban tahun di Philadelphia.

Anna Jarvis dan pendokong-pendokongnya telah menulis surat kepada menteri-menteri, golongan peniaga dan ahli-ahli politik dan meminta agar Hari Ibu itu disambut secara meluas di seluruh wilayah. Matlamat mereka telah berjaya sepenuhnya pada tahun 1911 apabila hari tersebut disambut oleh hampir keseluruhan wilayah AS. Pada tahun 1914, Presiden Woodrow Wilson secara rasminya telah mengisytiharkan Hari Ibu sebagai Hari cuti umum dan mesti diraikan pada setiap hari Ahad kedua dalam bulan Mei. Biarpun sebahagian besar negara-negara di dunia menyambutnya pada hari yang berlainan tetapi negara seperti Denmark, Finland, Itali, Turki, Australia, dan Belgium masih merayakannya pada setiap hari Ahad kedua dalam bulan Mei.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan