Selamat Datang ke blog sautulhaqq

Sabtu, 14 Mei 2011

Perutusan Pengerusi Aqsa Syarif Sempena Memperingati Peristiwa Nakbah Yang Ke-63


Dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh...

Tarikh 15 Mei adalah sejarah penting bagi seluruh warga dunia. Pada setiap tahun rakyat Palestin akan mengingati tarikh tersebut di mana mereka telah ditimpa satu tragedi yang tidak ada tolok bandingnya dalam sejarah kemanusiaan. Mereka diusir keluar dari tanah air mereka sendiri setelah ribuan rakyat Palestin dibunuh dengan begitu kejam sekali dan ratusan kampung dan pekan mereka dimusnahkan oleh pengganas-pengganas Zionis. Adalah amat mendukacitakan apabila tragedi kemanusiaan yang dahsyat ini berlaku pada tahun yang sama di mana Deklarasi Hak Asasi Manusia disepakati dan menjadi sebahagian daripada Piagam PBB. Sebaik sahaja deklarasi ini diluluskan, bangsa Palestin telah menjadi mangsa pelanggaran hak asasi yang pertama di dunia! Deklarasi hanya tinggal di atas kertas sahaja kerana selama 63 tahun, pencabulan ke atas hak asasi rakyat Palestin masih berterusan dan tidak mendapat perhatian yang sewajarnya oleh masyarakat dunia.

Aqsa Syarif yang sentiasa merasakan penderitaan rakyat Palestin bahkan setiap saat sentiasa mencari jalan untuk membantu menghentikan penindasan, kezaliman dan pencabulan ke atas hak dan maruah rakyat Palestin tidak akan berdiam diri. Sebaliknya di atas rasa persaudaraan dan rasa kemanusiaan yang dikongsi dengan seluruh warga dunia akan sama menangisi tragedi Nakbah yang merupakan titik hitam di dalam sejarah manusia sejagat.

Untuk membuktikan rasa kebersamaan dalam memikul luka berpanjangan yang ditanggung oleh rakyat Palestin maka Aqsa Syarif akan menganjurkan aktiviti ‘KONVOI MEMBEBASKAN PALESTIN’. Aktiviti ini membuktikan komitmen Aqsa Syarif bersama warga Malaysia untuk terus menerajui kempen pembebasan bumi Palestin seperti yang digariskan dalam agenda nasional perjuangan rakyat Palestin iaitu penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaulat dengan Baitul Muqaddis sebagai ibu negara dan hak rakyat Palestin yang berlindung di kem-kem pelarian di timur tengah bahkan yang berada di seluruh dunia untuk pulang ke tanah air mereka. Konvoi ini secara simboliknya melambangkan aspirasi rakyat Palestin yang tidak pernah berputus asa untuk kembali ke tanah air mereka.

Bagi para peserta yang menyertai konvoi ini, Aqsa Syarif mengucapkan jutaan penghargaan di atas kebersamaan dan solidariti utuh yang dipamerkan. Konvoi ini adalah merupakan satu syiar (lambang) bahawa warga Malaysia tanpa mengira kaum dan agama akan sentiasa mendukong perjuangan pembebasan bumi Palestin dari cengkaman rejim Zionis Israel. Konvoi ini adalah bukti bahawa warga Malaysia berganding bahu dengan seluruh masyarakat antarabangsa yang berdiri teguh di belakang perjuangan rakyat Palestin.

Sokongan yang dizahirkan di peringkat antarabangsa adalah bukti bahawa tidak ada kuasa yang boleh menghalang hasrat masyarakat antarabangsa untuk melihat hak rakyat Palestin ke atas tanah air mereka dikembalikan. Kuasa-kuasa besar dunia harus sedar dan insaf bahawa mereka tidak mungkin dapat mempertahankan rejim haram Israel yang didirikan pada 15 Mei 1948 dengan cara yang paling jijik dan keji untuk selamanya. Roda kehidupan akan berputar dan kezaliman yang ditimpakan ke atas rakyat Palestin akan berakhir. Israel hanya menunggu ajalnya tiba. Tanda-tanda bahawa Israel sedang berada di penghujung usianya semakin jelas apabila rejim-rejim Arab yang bersekongkol dengan Zionis ditumbangkan satu persatu oleh rakyat mereka sendiri dalam tempoh yang amat singkat.

Pada para peserta konvoi, Aqsa Syarif mendoakan agar anda semua mendapat keberkatan yang besar dari amal yang anda lakukan. Setiap wang yang dibelanjakan akan menjadi rezeki yang dilipatgandakan. Bahan api yang menggerakkan kuasa kuda pelbagai kapasiti akan melonjakkan kualiti hidup di dunia dan akhirat. Setiap debu yang melekat pada tubuh badan, pakaian dan kenderaan anda akan menjadi saksi perjuangan pembebasan bumi Palestin.

Bersama Aqsa Syarif ‘MEMPERKASA UMMAH, MEMBEBASKAN MASJID AL-AQSA’.

Dr Hafidzi Mohd Noor
Pemangku
Pengerusi Aqsa Syarif
bersempena 15 Mei 2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan