Selamat Datang ke blog sautulhaqq

Rabu, 8 Jun 2011

♥ ♥ ♥ Aku Telah Dikhitbah ♥ ♥ ♥

Assalamualaikum... Pasti pembaca sekalian (khususnya sahabat-sahabat yang mengenali diri ini) terkejut dengan berita ini. Ana mohon maaf kerana tidak memberitahu dan menjemput kalian. Tetapi, ana minta anda teruskan membaca artikel ini... Jazakallah Khairan Kathira ana ucapkan...

-----------------------------------------------------

Hari-hari yang berlalu kulewati rasanya seakan-akan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Ya, hanya beberapa minggu sudah berlalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada. Benar, aku berusaha untuk berlapang dada. Kadang-kadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir dengan kita disaat kita benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan tarbiyyah dan terus memimpinku melangkah dengan tabah.

Aku hanya seorang insyirah. Tiada kelebihan yang istimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalanku juga menggunakan dua kaki, aku melihat juga dengan menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku boleh melihat dengan menggunakan sepasang mata pinjaman Allah, aku boleh mendengar dengan menggunakan sepasang telinga pinjaman Allah juga dan aku boleh bercakap dengan menggunakan lidah yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.

Aku bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Saidatina Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik Saidatina Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahandanya dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang Insyirah yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insya Allah... Destinasi aku juga sama seperti destinasi kalian iaitu Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.

Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabat yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar aku sudah dikhitbah apabila melihat dua tanganku memakai cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diamku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diamku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian.

Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.

"Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?"

Aku menjawab dengan tenang... "Warna putih, bersih..."

"Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat."

"Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan."

Ibu mengangguk perlahan.

Dalam beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu... helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh sanubari aku sebagai hamba Allah. Malam Pertama... Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang di fikiranku, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya dan aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah...

Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak menbaca al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh ini. Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia menemaniku ketika sedang menanti kedatangan hari itu. Benar, aku sedang memujuk gelora hatiku. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului.

"Kak Insyirah, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?"

Aku tersenyum. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukuplah mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluargaku sahaja.

"Insya Allah, "dia" tiada rupa tetapi "ia" mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling utama."

Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.

"Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!"

Aku hanya tersenyum entah berapa kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyum dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku dengan Allah. Sahabat juga merasa kehilanganku apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa'ku iaitu al-Quran, tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafasku dalam menanti kedatangan hari itu.

"Bila anti menikah?" Khalilah bertanya.

Aku tiada jawapan khusus.

"Insya Allah, tiba waktunya nanti anda akan tahu..." Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.

"Jemput ana tau!" Khalilah tersenyum megah.

"Kalau anda tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak ye!" Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahanku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati denganku.

"Insyaallah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..."

Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya mampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada ibu...

"Usah berlebihan ya..."

Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.

"Insyirah, jom makan!"

Aku tersenyum lagi... Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.

"Tafaddal, ana puasa."

Sahabat-sahabat semakin galak mengusik.

"Wah, Insyirah diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya tak tetap lagi ke?"

"Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi."

Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku wahai sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja.

-----------------------------------------------------------------------------------------------

"innalillahi wainna ilaihi rajiun..."

"Tenangnya... Subhanallah... Allahuakbar..."

"Ya Allah, tenangnya..."

"Moga Allah memberkatinya...."

Ya Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, ucapan teman-teman seperjuangan aku pada ibu.

Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabat ramai yang datang di majlis walimahku meskipun aku tidak menjemput mereka.

Akhirnya, mereka ketahui sosok "dia" yang mendekatkan aku kepada Allah.

Akhirnya, mereka kenali sosok "dia" yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum.

Akhirnya, mereka sama-sama mengambil "ibrah dari sosok "dia" yang mengkhitbahku.

Dalam sedar tidak sedar...

Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku... Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.

"Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan "dia" yang mendekatkan aku dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukanlah kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba-Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran dan harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui..."

Akhirnya, Khalilah datang dan bertanya kepada ibuku beberapa minggu kemudian...

"Insyirah bertunang dengan siapa, makcik?"

Ibu tenang menjawab... "Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, Insyirah hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh."

"Allahuakbar..." Terduduk Khalilah mendengar, air matanya tak mampu ditahan dari terus mengalir.

"Buku yang sering dibacanya ini, malam pertama???" Tanya Khalilah.

Ibu mengangguk, tersenyum lembut... "Ini nak, bukunya." Senaskah buku bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk "Malam Pertama di Alam Kubur".

"Ya Allah, patut la Insyirah selalu menangis... Khalilah tak tahu mak cik."

"Sejak dari hari dia "dikhitbah" , selalu Insyirah berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan nanti..."

Khalilah masih kaku. Tiada suara yang terkeluar dari mulutnya. Matanya basah tatkala menatap kalam dari diari Insyirah yang diberikan oleh ibunya.

"Satu cincin ini yang aku pakai sebagai tanda aku dirisik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diriku kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, kerana ibuku bernama Ummu Sulaim. Baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH memintanya. Dan ibu mengambil "ibrah" ini bukan kerana namanya (Ummu Sulaim), tetapi kerana akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim, seteguh dan setabah hati seorang ibu."

* Cukuplah kematian itu mengingatkan kita... Cukuplah kita sedar kita akan berpisah dengan segala nikmat dunia. Cukuplah kita sedar bahawa ada hari yang lebih kekal, oleh itu sentiasalah berwaspada. Bimbang menikah tergesa-gesa, tahu-tahu sudah disanding dan diarak seluruh kampung walau hanya dengan sehelai kain putih tidak berharga.

~ Kullu nafsin za'iqatul maut ~

-----------------------------------------------------------------------------------------------

Ini bukan kisah hidupku. Namun, aku yakin dan pasti, aku bakal menemui Hari Bahagia itu. Tapi adakah sama dengan jalan ceritanya???? Ayuh fikirkan! Hati sedih berbaur pedih jika ia berlaku dekat denganku... Adakah ia sama dengan kehidupan yang sedang anda lalui... Bangga aku dengan Insyirah, apabila dia telah disahkan "dikhitbah". Dia semakin mendekatkan dirinya pada-Nya.

Apabila kita menyingkap tirai kehidupan reality, apabila seseorang itu telah dikhitbah, orang itu mahu menghabiskan masanya untuk "enjoy", menghabiskan masa bersama kawan-kawan, makan sepuas-puasnya. Kerana berfikir bahawa selepas ini, tidak akan ada masa lagi untuk semua itu. Semoga Kisah pertunangan Insyirah ini dapat dijadikan pedoman..

Fikirkan: Adakah kita telah 'dikhitbah'? ya, mungkin tanpa pengetahuan kita... Sangat sedikit yang mengetahui akan waktu itu... Sama-samalah kita membuat persedian untuk "hari bahagia" itu... Jangan ditunggu hari itu baru nak beramal dan mendekatkan diri pada-Nya. Jadikan AL-QURAN sebagai teman sepanjang masa dan dimana jua anda berada. Semoga Allah sentiasa melindungi dan memberi hidayah kepada kita semua. amin...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan