Selamat Datang ke blog sautulhaqq

Jumaat, 24 Jun 2011

MP Shah Alam Menarik Diri Dari Menyertai Misi LL4G Ke-2

Ahli Parlimen Shah Alam, YB Khalid Samad (gambar) telah membuat keputusan muktamad iaitu menarik diri daripada menyertai misi LL4G ke-2 yang dijadualkan berlangsung selama seminggu bermula minggu hadapan. YB Khalid Samad berkata, misi ke Gaza kali ini telah dicemari oleh politik BN dan penganjurnya.

“Saya sudah buat keputusan untuk menarik diri. Misi Gaza kali ini telah dicemari politiking oleh (PM) Najib Razak dan penganjurnya. Saya dimaklumkan NGO yang menyertai misi LL4G ke-2 ini pun hanya NGO yang pro-BN iaitu Aman Malaysia dan Ihsan (Pekida). Muslimcare, Haluan Palestin,Yayasan Amal serta beberapa NGO yang lain semua menarik diri.

“Selebihnya saya akan kemas kini dalam blog saya sebaik sahaja kembali dari Mekah ke Jazan,” katanya petang ini. Dalam kenyataan Ahad lalu, YB Khalid Samad mengakui “berat hati” untuk menyertai misi keselamatan membantu rakyat Palestin selepas mendapati Umno cuba memonopoli program itu dengan menggugurkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) pro-Pakatan Rakyat ke Palestin.

Justeru itu, beliau yang akan mewakili ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat berkata perkara tersebut akan dibincangkan terlebih dahulu bersama kepimpinan PR dan akan memutuskan sama ada menarik diri ataupun sebaliknya. Mengulas lanjut, YB Khalid Samad juga berkata beliau langsung tidak tahu menahu mengenai 10 orang sukarelawan Malaysia yang lain yang menyertai misi ini yang akan berlepas ke Athens, Ahad ini (26/06/2011).

“Saya tidak menerima sebarang maklumat daripada penganjur berkenaan perkara terbaru ini. Kali terakhir saya menelefon penganjur pada 20 Jun lepas tetapi tiada kata putus berkenaan sukarelawan yang akan terlibat. “Ini yang buat saya lebih yakin ada agenda lain… bukan untuk menolong rakyat Palestin di Gaza tetapi bermotifkan politik semata-mata,” ujarnya lagi.

“Kali terakhir saya menghubungi penganjur pada 20 Jun 2011 (Isnin), tiada pengesahan pada masa itu,” katanya lagi dalam kenyataan SMS hari ini. YB Khalid Samad akan kembali ke tanah air pada Selasa depan (28/6/2011). Berdasarkan laporan semalam, 10 sukarelawan pasukan LL4G ke-2 yang akan mewakili Malaysia akan berlepas Ahad ini(26/6/2011).

Menurut laporan itu sukarelawan itu terdiri daripada Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, rombongan yang diketuai Presiden LL4G Dr Noorazman Mohd Samsudin, disertai Pengerusi Aman Malaysia Datuk Ahmad Zaki Zahid, Khalid Samad dan Bendahari Muslim Care Malaysia Zulkefli Wahijan. Mengikut laporan media sebelum ini, misi tersebut yang dijangka memulakan pelayaran ke Gaza pada 27 atau 28 Jun bertemakan “Pertahankan Kemanusiaan” dan akan disertai 13 kapal antarabangsa — 10 kapal penumpang dan tiga kapal kargo.

Misi yang menghantar bantuan kemanusiaan itu turut akan memberi tekanan kepada Israel supaya menamatkan sekatan ekonomi terhadap penduduk Palestin khususnya di Gaza. Flotilla itu bukan hanya disertai sukarelawan negara Islam, malah dari AS, Eropah dan negara-negara Barat.

Dalam tulisan di blognya kelmarin, YB Khalid Samad berkata Umno sekali lagi membuktikan bahawa ia adalah parti yang sentiasa berusaha untuk menipu rakyat dan menghalang kebenaran daripada terserlah. “Saya masih ingin menyertai walaupun misi ini ketika ini dikelilingi dengan pemainan politik, penipuan serta ketidakikhlasan. Insya-Allah saya akan ke Mekah pada petang Rabu (22/06/2011) dan di hadapan Kaabah nanti saya akan beristikharah mengenai penglibatan saya dalam misi ini.

“Misinya penting seperti yang saya sebutkan di atas, namun tidak perlu saya terlibat sekiranya ia bermatlamatkan kepentingan politik Umno dan untuk dijadikan hujah untuk menipu rakyat. Kononnya mereka membela rakyat Palestin sedangkan sumbangan mereka kepada APCO sebanyak RM147 juta dalam tempoh dua tahun amat disyukuri Israel,” katanya lagi. Kata beliau kagi, “misi yang semulia ini tidak sepatutnya dicemari melalui putar belit politik dan penipuan dan pembohongan seperti yang telah berlaku.”

“Belum apa-apa lagi, ia sudah jelas, misi LL4G ke-2 tidak akan sama seperti misi LL4G yang pertama. Sebenarnya, flotilla pertama dahulu tidak diambil tahu pun oleh pihak kerajaan BN sehinggalah apa yang telah berlaku. “Sekembalinya mereka ke tanah air, mereka disambut oleh Najib dan segala kepura-puraan bermula selepas itu. Cuma bezanya pada kali ini, ia bermula dari awal lagi,” kata YB Khalid Samad yang juga ahli jawatankuasa kerja PAS pusat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan