Selamat Datang ke blog sautulhaqq

Isnin, 13 Jun 2011

Parti AK Menang Besar Dalam Pilihanraya Umum Ke-13 Turki

ANKARA: Parti AK (keadilan dan pembangunan) pimpinan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan telah mencapai kemenangan besar bagi penggal ketiga dalam pilihan raya parlimen negara itu namun parti berkenaan kekurangan empat kerusi dan ia menghalang parti berkenaan untuk meminda perlembagaan Turki jika tidak berpakat dengan parti lain. Recep Tayyip Erdogan telah berjaya menjadikan ekonomi Turki ke tahap yang paling pesat membangun dan berjaya mematahkan beberapa cubaan rampasan kuasa tentera terhadapnya. Parti AK pimpinannya juga menang pada p[ilihanraya kali ini dengan kiraan 49.9 peratus daripada keseluruhan undi dalam pilihan raya umum ke-13 sekaligus mencatatkan undi yang paling besar yang pernah dimenangi parti itu sepanjang penubuhannya.

Parti AK yang mula berkuasa pada tahun 2002 bagaimanapun memperoleh kurang empat kerusi daripada majoriti 330 kerusi yang diperlukan untuk meminda perlembagaan TURKI jika tidak mendapatkan sokongan dari parti lain. Keputusan itu bagaimanapun telah meningkatkan pasaran kewangan Turki dengan nilai mata wang lira menjadi semakin kukuh berbanding dolar. Parti AK terpaksa berkompromi dengan beberapa parti lain bagi meminda perlembagaan yang ditulis mengikut undang-undang tentera 30 tahun lalu. Erdogan ketika menyampaikan ucapan selepas kemenangan partinya, berikrar akan mendapatkan kompromi dengan parti pembangkang.

“Rakyat sudah memberikan mesej bahawa pindaan perlembagaan baru perlu dilakukan melalui rundingan tolak ansur dan bersepadu. Kami juga tidak akan menutup pintu kepada pembangkang, sebaliknya akan mendapatkan pandangan mereka,” katanya. Parti AK dalam kempen pilihan raya sebelum ini memberi jaminan untuk meminda perlembagaan dan menjadikannya lebih liberal, bagi menggantikan perlembagaan sedia ada, walaupun Erdogan enggan mengulas lanjut mengenainya.

Parti pembangkang utama, Parti Rakyat Republikan (CHP) menduduki tempat kedua dengan memperolehi undi sebanyak 25.9 peratus undi dan 135 kerusi parlimen, diikuti Parti Tindakan Nasionalis (MHP) yang memperoleh 53 kerusi. Selain Parti AK, Parti Demokrasi dan Keamanan Kurdis (BDP) juga mencapai kemenangan besar apabila calonnya yang bertanding sebagai wakil bebas telah mendapat sekurang-kurangnya 10 peratus undi dan berjaya menambah lagi kerusi daripada 20 kepada 36.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan