Selamat Datang ke blog sautulhaqq

Sabtu, 4 Jun 2011

Pemuda Yang Dikahwini Dengan Bidadari Syurga

Assalamualaikum... Saya ingin berkongsi dengan anda semua mengenai satu kisah yang bertajuk "Pemuda Yang Dikahwini Dengan Bidadari Syurga". Bertuah sungguh pemuda berkenaan. Pemuda berkenaan dikenali sebagai Sa'ad bin Assulami, salah seorang daripada sahabat Rasulullah s.a.w.. Begini kisahnya:

Pada suatu hari, Sa’ad bin Assulami datang bertemu Rasulullah s.a.w. dan berkata:“ Ya Rasulullah, apakah akan terhalang seseorang itu masuk syurga disebabkan mukanya yang hitam dan hodoh?” Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidak, demi Allah yang jiwa aku di tangannya selama mana kamu yakin kepada Tuhan kamu dan ajaran Rasul-Nya.”

Maka Sa’ad berkata: “Ya Rasulullah, demi Allah yang memuliakan kamu dengan kenabian. Saya telah mengucapkan kalimah syahadat kira-kira lapan bulan yang lalu dan saya telah datang ke sini untuk meminang seorang yang ada di sini tetapi mereka semua menolak pinanganku dan mengatakan saya ini hitam dan hodoh”. Sa’ad berkata lagi:“ Ya Rasulullah, sebenarnya saya adalah daripada keturunan yang baik iaitu dari suku Bani Sulaim, hodohnya saya adalah daripada keturunan ibu saya.”

Kemudian Rasulullah s.a.w. bertanya kepada yang hadir:“ Adakah Amru bin Wahab yang baru masuk Islam daripada suku kaum Tsaqief berada di sini?” Maka yang hadir berkata:“ Tidak ada ya Rasulullah.” Lalu Rasulullah s.a.w. bertanya kepada Sa’ad:“ Adakah kamu mengetahui dimana rumahnya?” Sa’ad berkata:“ Ya, saya tahu dimana rumahnya, ya Rasulullah.” Rasulullah s.a.w. lalu berkata:“ Pergilah kamu ketuk rumahnya perlahan-lahan kemudian kamu beri salam kepadanya. Apabila dia mengizinkan kamu masuk, maka katakan kepadanya bahawa Rasulullah s.a.w. mengahwinkan aku dengan puterinya.”

Amru bin Wahab mempunyai seorang puteri yang sangat cantik dan cerdik yang bernama Atiqah. Selepas Sa’ad tiba di rumah Amru, dia disambut dengan begitu baik sekali walaupun Amru tidak berapa senang dengan kedatangannya disebabkan mukanya yang hitam dan hodoh. Amru semakin tidak senang apabila Sa’ad menyampaikan kata-kata Rasulullah s.a.w.. Dia menolaknya dengan cara kasar hingga menyebabkan Sa’ad terus keluar dan bertemu Rasulullah s.a.w..

Sebaik sahaja Sa’ad pergi, maka puterinya berkata:“ Wahai ayahku, carilah keselamatan sebelum turunnya wahyu membuka perbuatan kamu itu. Jika benar Rasulullah mengahwinkan aku dengan orang itu, maka aku terima dengan hati terbuka dan rela. Aku rela atas apa yang diredakan oleh Allah dan Rasul-Nya untukku.”

Maka pergilah Amru ke majlis Rasulullah s.a.w. dan dia telah ditegur oleh orang yang berada di situ:“ Jadi kamulah orang yang menolak pinangan Rasulullah itu?” Amru berkata:“ Ya benar, tetapi aku minta ampun kepada Allah kerana aku sangka dia berdusta. Apabila aku dapati dia benar maka aku terima dia dan sedia mengahwinkan dia dengan puteriku. Kami berlindung jangan sampai Allah dan Rasul-Nya menjadi murka.”

Selepas itu, Sa’ad pun dikahwinkan dengan mahar sebanyak 400 dirham. Rasulullah s.a.w. memberitahu khabar itu kepadanya dan menyuruhnya pergi berjumpa dengan isterinya. Lalu Sa’ad berkata:“ Ya Rasulullah, demi Allah yang mengutuskan kamu sebagai Nabi, saya sesungguhnya tidak ada wang dan saya terpaksa meminta daripada saudara saya.”

Rasulullah s.a.w. berkata:“ Mahar untuk isteri kamu ditanggung oleh tiga orang daripada kaum mukminin. Pergilah kamu kepada Usman bin Affan dan kamu akan terima sebanyak 200 dirham. Kemudian kamu pergi kepada Abdurrahman bin Auf, kamu akan mendapat 200 dirham dan kamu pergi kepada Ali bin Abi Talib, juga sebanyak 200 dirham.”

Maka Sa’ad pun pergi ke rumah Usman dan menerima lebih daripada yang disebut Rasulullah s.a.w., kemudian kepada Abdurrahman, dia menerima lebih daripada 200 dirham dan akhir sekali ke rumah Ali, dia juga menerima lebih daripada 200 dirham. Sebaik saja Sa’ad mendapat wang itu, dia terus pergi ke pasar untuk membeli buah tangan untuk isterinya tiba-tiba dia mendengar suara yang mengatakan:“ Hai kuda Allah, bergeraklah kamu!

Kemudian Sa’ad mendengar suara Rasulullah s.a.w. berkata:“ Keluarlah kamu untuk berjihad! keluarlah kamu untuk berjihad!” Maka Sa’ad memandang ke langit sambil berdoa:“ Ya Allah, Tuhan Pencipta langit dan bumi, Tuhan kepada Muhammad, maka akan aku gunakan wang ini untuk membeli sesuatu yang lebih disukai Allah dan Rasul-Nya.”

Sa’ad menggunakan wang itu untuk membeli kuda, pedang, tombak dan perisai lalu dia menguatkan ikatan serban serta pinggangnya. Dia memakai topi yang cuma kelihatan dua biji mata saja lalu dia berdiri tegak di barisan depan Muhajirin hingga semua orang bertanya kepada Ali. Maka Ali pun berkata:“ Biarkan, mungkin dia dari Bahrain atau dari Syam dan mungkin dia datang untuk menanyakan agama sebab itu dia ingin mengorbankan diri untuk keselamatan kamu.”

Kemudian Sa’ad maju ke depan dengan menggunakan tombak dan pedangnya untuk memukul serta memenggal kepala orang kafir. Sa’ad berjuang hingga kudanya sendiri tidak kuat lagi lalu dia pun turun daripada kudanya. Dia menyinsing lengannya maka dilihat oleh Rasulullah lengannya yang hitam, lalu Rasulullah s.a.w. bertanya: “Adakah kamu Sa’ad?” Maka Sa’ad mengaku dan terus menghadapi musuh. Akhirnya beliau gugur syahid dalam peperangan tersebut.

Sebaik saja Sa’ad gugur, Rasulullah s.a.w. segera mendapatkannya lalu mengangkat kepalanya dan diletakkan diatas pangkuan Baginda sambil mengusap tanah yang melekat di mukanya. Baginda bersabda: “Alangkah harumnya bau kamu, alangkah kasihnya Allah dan Rasul kepada kamu.” Rasulullah s.a.w. menangis dan kemudian tertawa lalu Baginda memalingkan mukanya serta bersabda:“ Kini dia sudah sampai di Haudh, demi Tuhan yang mempunyai Kaabah.”

Selepas Rasulullah s.a.w. bersabda demikian maka Abu Lubabah bertanya:“ Ya Rasulullah, apakah Haudh itu?” Maka Rasulullah s.a.w. pun menerangkan: “Haudh itu ialah telaga yang diberikan Allah kepadaku dan lebarnya ialah di antara Shan’aa Yaman hingga Busra, di tepi telaga dihiasi permata dan mutiara, airnya lebih putih daripada susu dan rasanya lebih manis daripada madu, barang siapa yang minum sekali maka dia tidak akan haus untuk selama-lamanya.”

Kemudian Rasulullah s.a.w. ditanya lagi:“ Ya Rasulullah, mengapakah engkau menangis dan kemudian ketawa dan terus berpaling muka daripadanya?” Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda:“ Aku menangis kerana rindu kepada Sa’ad dan aku tertawa kerana gembira melihat kemuliaan yang diberikan Allah kepadanya. Aku berpaling daripadanya sebab aku melihat bakal isterinya yang terdiri daripada bidadari berebut-rebut untuk mendekatinya hingga terbuka betis mereka, maka aku pun memalingkan segera mukaku kerana malu.”

Kemudian Rasulullah pun menyuruh orang mengumpulkan pedang, tombak dan kuda Sa’ad untuk diserahkan kepada bakal isterinya yang sudah diakad nikah. Selepas itu, Rasulullah s.a.w. memberitahu Amru bin Wahab (mentua Sa’ad), “Sesungguhnya Allah mengahwinkan Sa’ad dengan bidadari yang lebih cantik daripada puteri kamu.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan