Selamat Datang ke blog sautulhaqq

Jumaat, 22 Julai 2011

Hari Yang Amat Di Nanti-Nantikan

Hari yang ditunggu-tunggu bakal tiba. Kedua-dua mempelai menanti ketibaannya dengan penuh debaran. Disaat itu, si pemuda kacak bakal menambah beban di bahu, membuktikan janji-janji setia yang ditaburkan untuk membahagiakan dan mendekorasi mahligai bersama. Si wanita yang cantik berseri pula kelak akan diserahkan penuh adab pada si jejaka, tersemat di benaknya bahawa ia wajib turuti segala perintah si suami yang setia.


Sanak-saudara sudah memenuhi ruang legar masjid, menunggu ketibaan tok kadi. Anak-anak kecil berlari-lari bermain polis entri. Ibu-ibu sibuk membetulkan tudung yang senget sana, senget sini. Para ketua keluarga bercerita penuh lawak jenaka tak kering gusi. Hanya si jejaka itu yang duduk, tertunduk, sesekali cuba menghangatkan tangan yang semakin dingin, gementar barangkali. Si puteri itu pula bersimpuh malu, bercampur-baur perasaan, SMS bertandang mendoakan kelancaran majlis akad nikah sebentar lagi.

Dulang hantaran tersusun rapi. Jika disusun sebaris, mahu satu saf yang bisa memuatkan 40 jemaah. Cincin pernikahan, jam tangan, kasut, pencuci sana pencuci sini, Mushaf Al-Quran beserta tafsir dan terjemahan, dengan berwarna-warni tulisan; dan bermacam-macam coklat dan buah-buahan.

Langkah bergaya tok kadi memasuki perkarangan masjid. Disambut baik, bersalam-salaman. Duduk bersila, memanggil pengantin lelaki menghadap. Majlis bermula. Mukaddimah disertai dengan doa puji-pujian buat Yang Maha Esa. Taklimat dan satu per satu tazkirah dihadiahkan buat sang mempelai yang bakal mendirikan rumah tangga. Sampai satu masa..

Tok Kadi : Besar Al-Quran tu. Dah pernah khatam baca belum?

Encik A: Err.. Belum ustaz.. Saya selalu baca Surah al-Fatihah dan 3 Qul je.. Yang lain, tak sempat.. heh.. =.=


Ketika itu, merah padam wajah si pengantin lelaki. Menyesal tak sudah. Lantas berlegar-legar di fikirannya akan tanggungjawab mendidik si isteri agar melazimi membaca Al-Quran bersamanya seperti yang dinasihatkan oleh tok kadi sebentar tadi. Tidak terhenti di situ, solat pula kadang buat, kadang buat-buat tak sempat. Puasa pula selalu tak tahan lapar dan dahaga. Pening memikirkan hal tanggungjawab diri dan bakal isteri yang bakal digalas.

Jangan pernah diungkapkan kata penyesalan, kerana tiada sesalan buat manusia akan perkara yang telah berlalu. Apa yang ada adalah hamparan masa hadapan yang terbentang menunggu untuk kita mencorakkannya kembali sesuai dengan kehendak dan tuntutan syariat. Jernihkan kisah silam dengan taubat penuh penghambaan. Kerana hanya Allah, Tuhan Yang Maha Pengampun, Lagi Maha Penerima Taubat. Hijrahkanlah diri ke arah yang lebih baik, sementara peluang dan masa masih ada...

~ Sebelum tiba saatnya lafaz sakinah ~


Dan sebelum tiba saatnya dijemput bertemu dengan Allah, Tuhan Yang Maha Menghidupkan dan Maha Mematikan...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan