Selamat Datang ke blog sautulhaqq

Jumaat, 1 Julai 2011

MAPIM Menganjurkan Misi Kemanusiaan Ke Gaza Kali Ke-2

1 Julai: Majlis Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) akan menganjurkan misi kemanusiaan ke Gaza kali ke-2 sempena dengan bulan Ramadhan dan dijangka bermula pada 15 Ogos 2011 (Isnin). Setiausaha Agung MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, misi ke-2 ini akan disertai lebih kurang 32 orang aktivis yang akan memasuki semenanjung Gaza melalui pintu sempadan Rafah.

Pada tahun 2010, mereka berjaya melepasi pintu sempadan Rafah pada bulan Ramadhan. Ketika itu misi kemanusiaan ini disertai oleh 44 orang aktivis. Tujuan misi kemanusiaan ke gaza kali ke-2 ini ialah untuk melanjutkan usaha melaksanakan beberapa projek kemanusiaan yang sudah dikenalpasti dalam misi lalu.

“Antaranya projek yang bakal dilaksanakan di semenanjung Gaza ialah pembinaan sebuah hospital kanak-kanak, pembinaan semula masjid, pembinaan jalanraya di daerah Khan Yunis, projek Taman Pemulihan kanak-kanak Trauma Pasca Perang, pembinaan Markaz Ulama Rantau Asia, program bandar berkembar dan penawaran pengajian perubatan di Malaysia. Rombongan kali ini juga akan menyaksikan penyempurnaaan pembinaan sebuah masjid di Beit Hanun di utara Gaza iaitu Masjid An Nasr yang disumbang oleh dana yang dikumpul Mapim sejak tahun lepas,” ujarnya.

Untuk rekod, misi tahun lalu diberi nama Gaza Ramadhan March for Freedom telah berjaya menghantar bantuan bernilai RM350,000 secara langsung kepada rakyat Gaza. Tahun lalu, anggota rombongan telah melaksanakan tugas mencari fakta berkaitan dengan keadaan kesihatan, masjid, infrastruktur, pendidikan, pertanian, pusat pengajian tinggi serta sistem politik di Gaza.

Selain itu, rombongan juga melihat kesan-kesan kemusnahan akibat Perang Furqan iaitu serangan Israel ke atas Gaza selama 22 hari dari 28 Disember 2008 hingga 17 Januari 2009. Kali ini, MAPIM akan melengkapkan lagi pengumpulan maklumat yang berkaitan dengan pelbagai kegiatan NGO yang wujud di Gaza dalam rangka mengenalpasti bagaimana NGO di Malaysia boleh bekerjasama dengan pihak kerajaan dan NGO di Gaza dengan lebih berkesan.

MAPIM juga mengatur pertemuan dengan pelbagai kelompok masyarakat sivil di Gaza dari pelbagai sektor seperti wanita, belia, mahasiswa, profesional, ulama, petani, nelayan, usahawan, warga media, ahli akademik, seniman dan budayawan, badan kebajikan dan kanak-kanak, NGO kesihatan serta pendidik sekolah. Melalui usaha-usaha itu, MAPIM berharap misi kali ini akan mengukuhkan lagi usaha merampatkan hubungan rakyat ke rakyat antara Malaysia dan Gaza khususnya serta Palestin umumnya.

Ramadhan di Gaza ke-2 ini berhasrat merapatkan lagi hubungan antara Malaysia dan semenanjung Gaza di dalam pelbagai lapisan agar manfaat dua hala dapat dicapai untuk dimanfaat secara langsung oleh kedua belah pihak. Untuk tujuan itu, MAPIM akan membuka penyertaan anggota rombongan dari NGO dan individu yang berminat untuk menjadi sukarelawan dalam misi ini.

Mereka harus bersedia untuk bukan sahaja mengikuti rombongan tersebut tetapi untuk menjadi sukarelawan berterusan untuk membantu menjayakan pelbagai projek pemulihan Gaza yang diusahakan Mapim.

Misi kali ini mengharapkan peserta akan siap membiayai perbelanjaan perjalanan sendiri serta boleh mengumpul dana untuk dibawa bersama bagi disumbangkan kepada rakyat Gaza. MAPIM berharap agar misi ini akan juga disertai oleh wakil-wakil NGO, ahli politik, ulama, media dan ahli profesional seperti misi yang lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan