Selamat Datang ke blog sautulhaqq

Jumaat, 15 Jun 2012

Lelaki Israel Ingin Menjadi Warga Palestin

RAMALLAH, 15/06/2012:- Seorang pendatang Yahudi dari Tajikistan, Andre Pshenichnikov, 23 tahun (gambar) menegaskan bahawa beliau mahu memutuskan semua hubungannya dengan kerajaan haram Israel dan memohon kerakyatan Palestin. Ini merupakan satu insiden luar biasa dan amat jarang berlaku.

Andre Pshenichnikov telah ditahan oleh pihak berkuasa Tel Aviv baru-baru ini selepas didapati salah kerana telah tinggal secara haram di sebuah Kem Pelarian Palestin di Deheishe, satu tempat yang berdekatan dengan Baitulaham dan berhasrat melepaskan kerakyatannya sebagai warga Israel. Beliau kini sedang bercuti selama 2 bulan di Eropah dan berharap dapat berpindah ke kawasan Tebing Barat apabila pulang dari bercuti nanti.

Insiden membabitkan warga Israel yang memohon untuk tinggal di bawah pentadbiran Palestin amat jarang berlaku. Setakat ini hanya beberapa orang sahaja yang berbuat demikian kerana mereka berkahwin dengan warga Palestin. Setakat ini tiada rakyat tempatan Israel yang pernah melepaskan kewarganegaraan mereka walaupun sebilangan yang tinggal di luar negara haram Israel. Setakat ini juga tidak pernah ada rakyat Israel memohon menjadi warganegara Palestin kerana mereka tidak dibenarkan memiliki dua kewarganegaraan.

Ibu Pshenichnikov, Svetlana ketika dihubungi di rumahnya di Israel berkata, beliau runsing apabila mendapat tahu rancangan anaknya itu.

“Saya ibunya dan saya cuba menyokong apa sahaja Pshenichnikov nak buat. Sama seperti ibu lain, tetapi saya tidak akan menyokong hasratnya yang ini,” katanya.

Svetlana dan keluarganya telah berpindah ke negara haram Israel ketika Andre Pshenichnikov berusia 13 tahun dan telah diberi kerakyatan Israel secara automatik kerana mereka orang Yahudi. Andre Pshenichnikov juga telah menamatkan program kerahan tentera selama 3 tahun, dilantik sebagai perancang komputer dan pernah berkhidmat selama 1 tahun setengah sebagai askar yahudi.

Bagaimanapun ketika manjadi tentera, Andre Pshenichnikov mula mempersoalkan tindakan pihak tentera Israel ke atas penduduk Palestin dan sejak itu ia mula menolak sepenuhnya dasar negara Yahudi itu. Selepas perkhidmatannya tamat, beliau telah berpindah ke Kem Pelarian Deheishe pada April 2012 sebelum bekerja sebagai pelayan dan pekerja binaan di Deheishe.

“Saya membenci Zionisme. Saya mahu menjadi sebahagian daripada pertahanan Palestin. Saya menyeru rakyat Israel agar menyokong kewujudan negara Palestin dan tinggal di Tebing Barat atau Gaza, tinggal sebagai rakyat Palestin,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan