Selamat Datang ke blog sautulhaqq

Jumaat, 28 Disember 2012

Presiden Mesir Bakal Merombak Kabinet

28/12/2012, Kaherah:- Presiden Mesir, Dr Mohamed Mursi menyatakan bahawa beliau akan melakukan rombakan kabinet selepas perlembagaan baru negara Mesir dikuatkuasakan. Beliau kini sedang berunding dan berbincang dengan PM Mesir, Hisham Qandil untuk memilih beberapa nama calon yang benar-benar layak menganggotai kabinet baru Mesir. Sekurang-kurangnya 8 kementerian yang akan dirombak.

“Saya hanya mengambil keputusan kerana Allah dan demi kepentingan negara Mesir. Saya akan melakukan segala usaha untuk memulihkan semula ekonomi negara Mesir yang kini sedang berdepan dengan pelbagai cabaran yang hebat. Saya akan melakukan segala perubahan yang diperlukan bagi tugas ini,” katanya.

Dalam ucapan pertamanya menerusi televisyen sejak pungutan suara bagi draf perlembagaan Mesir yang berasaskan syariat Islam diadakan pada 15 dan 22 Disember 2012, Dr Mursi menyatakan bahawa beliau bersedia berbincang dengan pihak yang menentang perlembagaan baru yang berasaskan syariat Islam (pihak pembangkang).

Dr Mursi juga menolak dakwaan berlakunya penipuan di dalam proses pungutan suara bagi draf perlembagaan Mesir yang baru dan menegaskan beliau akan memenuhi segala hasrat rakyat bagi mencapai segala kemajuan, kejayaan dan keadilan sosial di negara berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan