Selamat Datang ke blog sautulhaqq

Isnin, 22 Jun 2015

Konvoi Kapal Flotilla III Sedang Menuju Ke Arah Semenanjung Gaza

23 Jun 2015, STOCKHOLM - SWEDEN. Freedom Flotilla III yang membawa aktivis pro-Palestin dilaporkan sedang menuju ke Genting Gaza dalam usaha untuk memecahkan sekatan haram yang dikenakan oleh Israel ke atas wilayah itu.

Jurucakap misi bantuan kemanusiaan itu memaklumkan mereka telah berlepas dari Sweden pada akhir Mei lalu dan dijangka tiba di Gaza pada akhir bulan ini lapor Press TV.

"Salah sebuah kapal, Marianne of Gothenburg yang membawa aktivis warga Kanada, Norway dan Ahli Parlimen Sepanyol, Ana Maria Miranda Paza juga telah meninggalkan bandar Palermo di Itali," katanya.

Difahamkan, kesemua kapal terbabit turut membawa bantuan perubatan dan peralatan lain seperti panel solar untuk penduduk Palestin.

Dalam satu kenyataan, Ahli Parlimen Israel, Basel Ghattas mengumumkan bahawa beliau juga akan menyertai kumpulan aktivis tersebut.

Media tempatan melaporkan beliau telah menghantar surat kepada Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan Menteri Hal Ehwal Tentera, Moshe Yaalon bagi menggesa Tel Aviv supaya membenarkan kesemua kapal tersebut memasuki Genting Gaza.

"Sekatan haram Israel jelas melanggar undang-undang kemanusiaan dan tiada sebab Israel perlu menyekat bantuan kemanusiaan tersebut," tegasnya.

Sementara itu jurucakap tentera rejim Zionis dengan angkuh memberitahu mereka tidak akan membenarkan mana-mana kapal menyeberangi sempadan perairan untuk memasuki ke wilayah Gaza. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan